Rumah Mampu Milik

Sebenarnya, berapakah harga hartanah di sekitar Kajang, Semenyih, Seri Kembangan, Bangi, Nilai dan sekitarnya pada masa ini? Apakah generasi muda macam saya benar-benar tidak mampu membeli hartanah sendiri? Kelihatannya seakan ‘rumah mampu tengok’ tumbuh bak cendawan selepas hujan. Sebaliknya, ‘rumah mampu milik’ umpama melukut di tepian gantang gamaknya. SUSAH MENCARI RUMAH MAMPU MILIK

Kita semua sendiri boleh lihat, harga rumah teres biasa di Lembah Klang telah melambung begitu tinggi sekali.  Berdasarkan kepada pemerhatian, saya dapati harga rumah teres satu tingkat di Kajang / Semenyih kini mencecah RM400,000 manakala rumah teres dua tingkat sudah mencecah RM500,000 (sekurang-kurangnya). Jangan mimpilah hendak beli rumah banglo – harganya boleh mencecah jutaan ringgit. Itu purata harga di pinggir bandar sebelah selatan Lembah Klang. Harga di sekitar kawasan Putrajaya, Seri Kembangan, Cyberjaya dan Kuala Lumpur jangan cerita. Memang sudah sampai tahap tidak tercapai dek akal – mampu tengok.

Secara purata, untuk membeli rumah berharga RM350,000 seorang itu mestilah berpendapatan RM5,000 sebulan. Dikatakan pada 2013, harga rumah di Malaysia naik kira-kira 30 peratus berbanding tahun 2012, manakala pada suku pertama tahun 2014, harga naik lagi sekitar lapan peratus.

Purata harga rumah di Selangor adalah RM405,000 manakala purata harga rumah di Kuala Lumpur adalah RM620,000.

Sebagai contoh :

Andainya anda ingin membeli apartmen berharga RM300,000,  anda perlu ada RM30,000 (deposit pada tahap minimum, iaitu 10 peratus), dan RM10,000 lagi untuk menampung pelbagai kos lain (yuran guaman perjanjian jual beli, duti setem pindah milik, yuran guaman perjanjian pinjaman, duti setem gadaian dan sebagainya).

Mengenai bebanan kewangan bulanan pula,  jika anda membeli rumah dengan harga RM300,000 dan mengambil pinjaman bank sebanyak RM270,000 selama 30 tahun, anda perlu membayar sekitar RM1,400 setiap bulan kepada bank. Sekiranya anda mampu membayar lebih lagi pada setiap bulan, jangka hayat pinjamannya dengan bank boleh dipendekkan.

CERITA DARIPADA AGEN

Saya sedang dalam proses membeli rumah di sempadan Semenyih dan Nilai. Memang pening hendak mencari rumah yang bersesuaian dengan keperluan diri – bekerja di Sungai Besi dan mahu beli rumah yang sesuai dengan pendapatan. Adalah beberapa projek perumahan baru yang telah saya kunjungi :-

  • Apartment berkeluasan sekitar 1000 sqf lebih di Seri Kembangan – RM460,000
  • Apartment berkeluasan sekitar 1000 sqf lebih di Kajang – RM470,000
  • Apartment berkeluasan sekitar 1000 sqf lebih di Semenyih – RM350,000

Itu harga untuk sebuah Apartment di kawasan sekitar yang berhampiran dan mudah akses untuk ke tempat kerja saya.

Apapun, alhamdulillah rezeki tuhan. Saya berjaya membeli rumah teres satu tingkat di Nilai ( kedudukannya di bersempadan dengan Semenyih ) pada harga bawah RM400,000. Itu pun sebab projek ini belum dilancarkan dan sedang dalam fasa pertama. Daripada sini, beban bayaran bulanan saya kelak adalah RM1,400 sebulan selama 35 tahun. Perlu lipat gandakan usaha untuk mendapatkan pendapatan sampingan. Bayangkan harganya pada fasa kedua / ketiga dan seterusnya. Can’t imagine.

Saya bertanya dengan agen pemaju perumahan itu – mengapa sukar hendak dapat rumah teres setingkat / harga mampu milik. Beliau menjawab, pemaju lebih suka membina rumah teres dua tingkat atau yang seumpama dengannya. Alasannya ialah margin keuntungan lebih tinggi pada kos pembinaan yang lebih kurang sama. Pengsan mendengarnya.

No wonder sekarang ini saya lihat banyak rumah teres 2 tingkat yang dibina. Rumah teres 2 tingkat di Nilai pun harganya bermula RM467,000. Tempat lain – anda congak sendiri sahaja.

INISIATIF KERAJAAN

Kerajaan ada menyediakan inisiatif seperti rumah PR1MA atau Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Mohon boleh tapi jangan mengharap sangat kerana ramai yang memohonnya.

Pada September 2014, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan Skim Sewa-Beli Rumah – diwujudkan bagi membantu pemohon PR1MA yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman perumahan dengan bank. Tetapi sebelum itu, mesti dapat tawaran rumah itu dulu daripada PR1MA.

Pada 18 Disember 2014, Perdana Menteri menyatakan ‘komitmen tinggi’ kerajaan membina satu juta rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun (Utusan Malaysia, 19 Disember 2014). Perlu diingat bahawa istilah ‘rumah mampu milik’ itu punyai takrif yang berbeza.

  • Jabatan Perumahan Negara – rumah mampu milik bermakna rumah yang dijual dengan harga RM300,000 ke bawah.
  • PR1MA – rumah mampu milik berharga antara RM100,000 hingga RM400,000 untuk golongan berpendapatan isi rumah antara RM2,500 hingga RM7,500 sebulan.
  • SPNB, rumah mampu milik adalah rumah yang dijual antara RM100,000 hingga RM300,000.
  • Bagi negeri-negeri lain pula, mereka memberi takrif yang juga berbeza.

Mengikut Laporan Statistik Pendapatan Isi Rumah Rakyat Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara bagi tempoh 1970 hingga 2012, rakyat negara kita ini terbahagi dalam empat kelompok, iaitu:

  • 33.6 peratus isi rumah mempunyai purata pendapatan melebihi RM5,000 sebulan,
  • 27.8 peratus isi rumah mempunyai purata pendapatan antara RM3,000-RM5,000 sebulan,
  • 33.8 peratus isi rumah mempunyai purata pendapatan antara RM1,500-RM3,000 sebulan, dan
  • 5.0 peratus isi rumah mempunyai purata pendapatan kurang RM1,500 sebulan.

Di bawah Artikel 17(1) Universal Declaration of Human Rights, setiap orang berhak memiliki harta sendiri atau berkongsi dengan orang lain. Di bawah Dasar Perumahan Negara, kerajaan berikrar rakyat negara ini akan berpeluang memiliki rumah mampu milik yang selesa.

Sama-samalah kita usahakan dan berdoa serta bertawakal agar semuanya dipermudahkan.

Published by

Dennis Zill

Freelance Blogger - Gemar mengambil gambar (masih lagi belajar teknik yang betul) - Suka Jalan-jalan & Traveling untuk mencari pengalaman baru - Pencinta kucing yang tegar. Kenali Dennis Gill lebih lanjut di SINI