SHAH ALAM
- Taman Botani Negara Shah Alam – Juga dikenali dengan Taman Botani Cherakah dan terletak di Bukit Cherakah. Destinasi ini sememangnya satu tempat menarik di Shah Alam yang sesuai untuk anda kunjungi sekiranya ingin melihat pemandangan hijau dikelilingi dengan pokok-pokok. Terdapat juga mini zoo yang menempatkan beberapa jenis binatang dan yang pasti, destinasi ini sangat popular di kalangan institusi sebagai lokasi kem bina semangat. Tempat Menarik di Selangor
- Taman Tasik Shah Alam – Taman Tasik Shah Alam ini terletak di sepanjang Jalan Dato Menteri dan Jalan Persiaran Masjid. Destinasi ini memang sangat popular di kalangan warga Shah Alam untuk jogging dan bersenam pada waktu pagi dan petang. Taman tasik ini memang agak besar dan ianya merupakan landskap buatan manusia. Sesuai untuk membawa keluarga dan anak-anak beriadah di sini dan terdapat juga taman permainan kanak-kanak yang agak besar yang pasti membuatkan anak tersenyum riang. Taman Tasik Shah Alam juga sering menjadi lokasi untuk acara tahunan seperti Pameran Orkid Selangor dan Pertunjukan Bot Antarabangsa.
- Dataran Bunga Raya – Merupakan sebahagian daripada Taman Tasik Shah Alam. Di sini menempatkan landskap taman yang mempunyai banyak pokok-pokok bunga berwarna warni dari spesis bunga raya. Sesuai untuk datang ke sini bersiar-siar dengan keluarga sambil-sambil ambil gambar. Kerana landskap dan subjek-subjek menarik yang ada di sini maka lokasi ini juga sangat popular di kalangan para photographer untuk mengambil gambar terutamanya untuk gambar wedding.
- Taman Bukit S.U.K – Sebuah taman rekreasi yang juga tidak kurang popular di kalangan warga Shah Alam untuk melakukan aktiviti riadah dan jogging pada waktu pagi mahupun petang. Terdapat kemudahan seperti laluan jalan kaki berbata, taman permainan kanak-kanak dan lokasi bbq. Kawasannya hijau dan cantik yang juga sesuai untuk dijadikan lokasi photoshoot untuk wedding anda. Kalau anda nak lokasi riadah yang lebih senyap dan mendamaikan di Shah Alam, bolehlah datang ke sini.
- City of Digital Light di I-City Shah Alam – Di sini memang banyak aktiviti dan tempat menarik yang ada baik indoor ataupun outdoor. Salah satu tarikan yang ada di I-City yang sering menjadi tumpuan pengunjung ialah City of Digital Light. Di sini terdapat pelbagai jenis pokok-pokok yang dihiasi dengan lampu-lampu LED yang boleh diibaratkan seperti taman fantasia untuk kanak-kanak. Di sini juga terdapat beberapa permainan yang disediakan khas untuk kanak-kanak atau remaja untuk mencuba. Setiap kali hujung minggu, memang sesak kawasan City of Digital Light.
- Dataran Shah Alam – Di sini terdapat sebuah padang dan kemudahan seperti bangku duduk yang disediakan dan sering menjadi tempat warga sekitar berkelah. Mungkin kerana lokasi yang strategik dan tidak jauh dari jalan utama menjadikannya destinasi pilihan warga setempat berkeluarga untuk lepak-lepak selain mempunyai lampu limpah yang menerangi gelap malam. Destinasi ini tidaklah semeriah di Uptown Shah Alam mahupun di I-City namun cukup memadai kalau setakat nak lepak-lepak ambil angin malam sambil melihat gelagat kanak-kanak bermain di padang. Padang ini memang sesak setiap kali bulan Ramadhan ketika waktu Iftar. Pastikan anda bawa tikar siap-siap.
- Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah – Sekiranya anda pertama kali berkunjung ke Shah Alam, sangat dicadangkan untuk singgah di Masjid Negeri Selangor ini yang sememangnya sangat besar dan boleh menempatkan lebih 24,000 jemaah pada satu-satu masa. Masjid yang umumnya mempunyai ciri-ciri rekabentuk Melayu dan Islam ini dibuka secara rasmi pada tahun 1988. Masjid ini juga mempunyai 4 menara yang menjangkau ketinggian 142.3 m dan merupakan menara masjid yang kedua tertinggi di dunia selepas Masjid Hassan II di Morocco.
- Kompleks Taman Seni Islam – Satu tempat menarik di Shah Alam yang sangat unik dan kalau anda ingin mengenali dengan lebih dekat kesenian berkonsepkan Islam seperti tulisan khat dan tulisan jawi bolehlah bawa anak-anak ke sini. Selain itu terdapat banyak informasi dan infografik bersejarah di beberapa galeri yang secara umumnya menceritakan bagaimana Agama Islam berkembang sehinggalah ke era-era kegemilangannya.
PETALING JAYA
- Kidzania – Taman hiburan berkeluarga tertutup ini merupakan satu tempat menarik di Mutiara Damansara yang sangat popular di kalangan kanak-kanak. Di sini terdapat banyak aktiviti sambil belajar yang sesuai untuk kanak-kanak dalam mendekati lagi ilmu-ilmu dalam masyarakat dan kehidupan harian. Sering menjadi destinasi wajib bagi keluarga yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah rendah terutamanya pada hujung minggu ataupun cuti sekolah.
- Muzium Coklat Kota Damansara – Setiap kali musim cuti sekolah mesti ramai ibu bapa yang bawa anak-anak ke muzium ini yang terletak di Kota Damansara. Choclate Museum by Fidani ini merupakan sebahagian daripada kilang di sini dan terdapat banyak pameran dan infografik berkaitan dengan coklat dan proses pembuatannya. Pengunjung juga berpeluang melihat bagaimana chef dan pekerja di sini berkerja menghasilkan coklat. Dan yang paling menarik pengunjung boleh rasa kesedapan coklat di sini atau membeli coklat sebagai ole-ole. Tiket masuk ke muzium ini juga percuma.
- Sunway Piramid – Berdekatan dengan Sunway Lagoon, Sunway Piramid merupakan salah satu tempat membeli belah yang popular di Petaling Jaya. Samaada untuk membeli belah mahupun untuk hiburan keluarga, Sunway Pyramid merupakan destinasi yang ideal dan antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini ialah ice skating, memanah ataupun menonton wayang. Kalau perancangan anda nak ke taman tema Sunway Lagoon terbatas kerana hujan, bolehlah ke sini sebagai backup plan anda. Terdapat juga beberapa tarikan permainan indoor di dalam Sunway Piramid yang tidak kurang menariknya.
- Ice Skating Sunway Piramid – Satu tempat menarik di Petaling Jaya yang sesuai untuk dicuba bersama anak-anak mahupun yang tersayang. Ruang lapangan berais ini memang sangat luas dan tidak semak walaupun di hujung minggu. Pengunjung boleh meluncur di sini walaupun masih baru mencuba. Peralatan untuk meluncur seperti kasut dan sarung tangan boleh disewa di kaunter. Sekiranya anda suka main roller blade, meluncur di atas padang ais ini akan menjadi lebih mudah walaupun baru pertama kali mencuba.
- T&T Kidzpark Sunway Pyramid – Taman tema mini tertutup yang terdapat di dalam Kompleks Sunway Pyramid yang sesuai untuk kanak-kanak. Di sini terdapat banyak pilihan permainan yang selamat dan mesra budak-budak yang pasti membuatkan mereka tersenyum riang. Sekiranya bercadang nak ke Sunway Lagoon dan cuaca tidak mengizinkan, boleh ubah plan untuk bawa famili ke sini.
- Sunway Lagoon – Boleh dianggap antara tama tema di Malaysia yang paling popular dan dari hari ke hari tarikan di taman tema ini juga semakin bertambah. Sunway Lagoon mempunyai beberapa bahagian yang boleh anda kunjungi baik bersama keluarga mahupun kawan-kawan, antaranya ialah taman tema air (water park), taman hiburan (amusement park), taman hidupan liar (wildlife park), taman ekstrem (extreme park) dan taman menjerit ( scream park).
SUBANG
- SimflightKL – Seperti juga AVIAX di Shah Alam, destinasi ini merupakan satu tarikan yang sangat unik untuk dicuba di mana pengunjung boleh mencuba membawa pesawat Airbus A320 atau Boeing 737 secara maya. Memandu pesawat menggunakan simulator ini sememangnya real seperti anda berada di dalam kokpit pesawat yang sebenar. Pengunjung juga berpeluang membawa pesawat yang sebenar dengan menggunakan Cessna 172 atau Piper PA 28 ataupun mungkin mencuba pengalaman menaiki helikopter dari jenis Robinson R44, EC120 ataupun AS350.
- KLFarm in the City – Terletak di Subang Jaya, destinasi ini sangat sesuai kepada mereka yang sukakan aktiviti interaksi dengan haiwan dan melihat flora fauna. Konsepnya adalah seperti sebuah perkampungan zoo yang menempatkan seratus spesis haiwan yang menarik dan ditempatkan di dalam kandang berkaca. Ada juga haiwan yang jinak yang boleh disentuh tanpa apa-apa halangan seperti arnab, kura-kura gergasi, rakun dan juga tikus belanda. Satu tempat menarik di Subang Jaya yang sangat ideal untuk dikunjungi bersama anak-anak untuk lebih mengenali haiwan-haiwan eksotik ini.
- Asean Water Sports Village Puchong – Bagi mereka yang sukakan aktiviti yang merembes hormon adrenalin pada tahap maksimum, apa kata anda ke sini. Kawasan rekriasi ini menawarkan sukan air yang sangat ektrem yang mana rata-ratanya memerlukan anda ditarik dengan bot laju. Antaranya ialah permainan GX4, Banana Boat, Aqua Fly, Graphic Deck, EvoPro 3, Fly Fish, Fifty Four dan Turbo Blast. Terdapat juga aktiviti santai lain yang sesuai untuk anak-anak seperti berkayak ataupun bermain layang-layang.
- Speedway PLUS Go-Kart – Salah satu venue yang sangat popular di Selangor dan KL untuk aktiviti sukan pemotoran go-kart baik untuk pertandingan atau untuk mereka saja yang ingin mencuba. Terletak di USJ Subang Jaya litar yang sepanjang hampir 1km ini memang sangat mencabar dengan pelbagai jenis selekoh. Bagi mereka yang ingin ke sini untuk mencuba sukan ini disarankan untuk semak dahulu tarikh untuk mengelak daripada bertembung dengan apa-apa acara khas lain.
- TT Sport Park – Bagi mereka yang suka berperang di lapangan paint ball, apa kata anda ke sini bersama rakan-rakan. Destinasi yang dianggap antara lapangan perang paint ball terbesar di Selangor ini mempunyai beberapa kawasan medan perang yang berlainan suasananya dan tahap cabarannya. Bagi yang inginkan pengalaman berperang seperti di dalam hutan, bolehlah datang ke TT Sport Park yang terletak berdekatan dengan Taman Subang Ria.
KLANG
- Tanjung Harapan – Kawasan rekreasi tepi pantai yang popular di kalangan warga setempat untuk mengambil angin pantai terutamanya di waktu petang. Memandangkan ianya terletak di sebelah pantai barat Semenanjung Malaysia, maka panorama matahari terbenam di sini memang sangat cantik. Di sini juga terdapat beberapa tempat yang popular untuk makan malam terutamanya makanan laut atau ikan bakar yang segar-segar.
- Pulau Ketam – Pulau ini yang terletak di Klang senang untuk ke sini menggunakan feri dari Jeti Pelabuhan Klang. Pulau ini bukanlah terkenal sebagai destinasi pelancongan seperti di Pulau Redang atau Pulau Tioman namun tarikannya lebih kepada suasana perkampungan nelayan yang memang tiada di bandar. Di sini terdapat rumah-rumah terapung yang didiami oleh nelayan tempatan dan selain melihat suasana perkampungan di sini, anda juga boleh sewa basikan untuk pusing-pusing dan membeli produk-produk makanan laut yang ada dijual di sini pada harga yang sangat berpatutan.
- Pantai Acheh di Pulau Indah – Lokasi pantai ini mungkin agak tersorok sedikit namun ianya menawarkan pemandangan laut dan landskap pantai yang menarik untuk aktiviti seperti berkhemah, santai petang dan berkelah. Lokasi ini juga sesuai untuk anda melakukan aktiviti lain seperti parasiling atau memancing. Yang nakkan lebih privasi kalau berkelah di tepi pantai bolehlah ke sini.
- Wisma GM Klang Wholesale City – Merupakan sebuah tempat yang amat popular di Klang kalau nak membeli barangan pada harga borong. Rata-rata peniaga di sini menawarkan harga barangan per unit dengan lebih murah kalau dibeli secara pukal. Destinasi ini sering menjadi lokasi peniaga kecil untuk membeli barangan untuk dijual. Jenis produk yang ada disini juga lebih kepada aksesori wanita, barangan bayi, pakaian muslimah, hadian fesyen dan sebagainya.
- Masjid Bandar Diraja Klang – Sebuah masjid yang indah dan cantik yang baru siap dibina pada tahun 21 Ogos 2009. Masjid ini dibina bagi mengatasi masalah limpahan jemaah di Masjid India dan Masjid Sultan Suleiman terutamanya pada hari Jumaat. Dari jauh anda boleh melihat kubah keemasan yang bergemerlapan yang sangat sinonim dengan jolokan masjid diraja. Masjid yang dibina dengn kos lebih RM 20 juta ini boleh menampung 1500 jemaah pada sesuatu masa.
KUALA SELANGOR
- Taman Alam Kuala Selangor – Satu destinasi tempat menarik di Kuala Selangor yang sangat popular terutamanya pada bulan September sehingga ke April setiap tahun. Ini kerana pada ketika ini Taman Alam Kuala Selangor akan menjadi persinggahan burung-burung dari luar negara dan juga tempatan.
- Kelip-Kelip Kg. Kuantan – Satu lagi tarikan unik di Kuala Selangor yang sememangnya tidak asing ialah melihat serangga kelip-kelip di Kampung Kuantan. Bagi yang belum pernah melihat dan merasai sendiri kecantikan kelip-kelip di sepanjang sungai, anda boleh mencubanya di sini. Tambang untuk satu bot hanya RM 50 untuk 4 orang termasuk life jacket. Kalau anda datang berdua, anda boleh berpakat dengan pengunjung lain yang juga berdua untuk sewa satu bot, lebih jimat.
- Bukit Malawati – Kuala Selangor tidak ketinggalan mempunyai tarikan tempat bersejarah dan salah satunya ialah di Bukit Melawati. Kerana lokasinya yang berbukit dan strategik, Bukit Melawati pernah menjadi kawasan jajahan Belanda dulu-dulu, dan di atas Bukit Malawati ini ada sebuah rumah rehat, rumah api, rumah pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan kesan-kesan peninggalan sejarah
HULU SELANGOR
- Santuari Ikan Kelah , Sungai Chiling – Satu tempat menarik di Hulu Selangor yang sangat popular di kalangan warga kota untuk mandi manda air terjun sambil-sambil jungle trekking. Nak masuk ke dalam pengunjung perlu berjalan kaki melalui denai yang disediakan kira-kira 20 minit. Air terjun di sini memang cantik, tinggi dan satu lagi tarikan pengunjung kalau ke sini adalah untuk melihat tempat pemuliharaan ikan kelah. Pengunjung boleh ke sini untuk berkelah pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja.
- Sungai Inki Kalumpang – Merupakan sebuah destinasi mandi air sungai yang sangat menarik untuk dikunjungi bersama keluarga. Di sini kemudahan asas pengunjung disediakan seperti chalet, resort, training centre, titian gantung, tempat parking kereta, kawasan bbq, pondok rehat, tempat makan dan sebagainya. Sesuai juga untuk dijadikan aktiviti kem bina semangat atau teambuilding. Air sungai di sini juga memang menyegarkan dan sejuk serta keadaan air sungainya juga sesuai untuk dimandi oleh kanak-kanak mahupun dewasa. Terdapat juga kolam buatan bersimen mozek yang sesuai dan selamat untuk budak-budak kecil bermain air di dalam.
- Air Terjun Semangkuk – Air terjun ini mungkin tidak selapang dan semeriah seperti di Sungai Inki Kalumpang, namun sekiranya anda jalan-jalan ke Bukit Fraser ataupun Empangan Sungai Selangor/Empangan Kuala Kubu Baru bolehlah singgah untuk mandi manda bersama anak-anak. Keluasan air terjun di sini agak kecil namun sering juga menjadi tempat persinggahan warga setempat untuk berkelah dan berehat sebelum memulakan perjalanan ke Bukit Fraser.
- Sungai Kendondong – Destinasi air terjun yang senang diakses dengan kereta dan di sini terdapat kawasan tadahan air terjun yang sangat cantik dan lapang. Anda boleh memandu untuk sampai ke destinasi ini yang terletak di antara jalan Batang Kali-Genting. Kalau anda kaki terjun tiruk dari batuan yang tinggi, bolehlah ke sini bersama rakan-rakan. Kawasan air terjunnya memang ada yang cetek dan berbatu yang sesuai untuk anak-anak mandi manda.
- Air Terjun Hutan Lipur Sungai Sendat – Satu lagi destinasi air terjun bertingkat di Ulu Yam, Hulu Selangor yang sangat menarik untuk datang berkelah bersama keluarga. Kawasan mandi manda di sini lebih kurang sama keadaannya di Sungai Kedondong, ada tempat berbatu dan cetek yang sesuai untuk anak-anak kecil dan juga ada tempat lapang terbuka sesuai untuk belia muda mudi berenang dan membuat aksi terjun tiruk serta bermain gelonsor batu dari tingkat dua ke tingkat satu.
- Air Terjun Serendah – Di kalangan orang setempat dikenali dengan nama Templer Kai. Destinasi air terjun ini memang sangat sesuai untuk berkelah kerana mempunyai permukaan air terjun yang sesuai samaada untuk kanak-kanak mahupun dewasa. Kawasan air terjun dan tadahan airnya sangat lapang dan cantik. Kemudahan seperti tempat letak kereta, surau, bilik persalinan ada disediakan. Nak datang ke sini pun senang dan mudah diakses dengan kenderaan.
- Kolam Air Panas Hulu Tamu – Terletak di Batang Kali, destinasi ini memang sesuai sekiranya anda ingin merasai kehangatan air panas semulajadi yang asli. Terdapat kemudahan kolam-kolam bermozek yang dibina khas untuk pengunjung. Ada kolam air panas yang hanya untuk berendam kaki dan ada kolam yang boleh anda mandi terus menggunakan gayung. Terdapat juga beberapa chalet untuk mereka yang nak bermalam di sekitar sini.
- Kolam Air Panas Kerling – Satu lagi destinasi kolam air panas semulajadi yang ada di Hulu Selangor. Pengunjung boleh berendam di dalam kolam yang disediakan untuk merasai air panas ini dan yang menariknya, ianya terletak bersebelahan dengan air sungai. Kalau nak mandi air sejuk boleh terjun dalam sungai ini. Kolam Air Panas ini terletak kira-kira 15 minit dari Tol Plaza Tanjung Malim dan sangat mudah untuk diakses dengan kenderaan.
- Lata Makau Kuala Kubu Baru – Destinasi air terjun ini memang tidak dinafikan tersangat jernih dan paling dingin airnya berbanding air terjun yang lain di Hulu Selangor. Namun nak ke sini memang agak mencabar kerana pengunjung perlu mendaki dan meredah hutan berjam lamanya. Destinasi ini sesuai untuk mereka yang gemarkan aktiviti-aktiviti mendaki bukit dan junggle trekking di dalam hutan.
- Sungai Bernam Teratak Riverview – Kalau merancang nak bermalam di tepi sungai yang jernih airnya dan menawarkan aktiviti-aktiviti lasak yang menarik, salah satu tempat yang sangat popular yang boleh anda kunjungi ialah di Teratak Riverview. Di sini mereka menyediakan pelbagai jenis penginapan chalet yang unik dan ala kampung dan betul-betul berada di tepi sungai. Antara aktiviti-aktiviti menarik yang boleh anda lakukan di sini ialah river tubing, flying fox, abseiling, berbasikal, redah hutan, paint ball dan sebagainya. Satu tempat menarik di Hulu Selangor yang sesuai sebagai destinasi untuk lakukan kem bina semangat dan teambuilding.
- Taman Millenium Kuala Kubu Baru – Sekiranya anda menginap di sekitar Kubu Baru, bolehlah datang singgah ke taman rekreasi bertasik yang terkenal ini samada untuk jogging atau bersiar-siar dengan keluarga. Kemudahan asas sebuah taman rekreasi memang cukup lengkap di sini seperti laluan jalan kaki berbata, pondok rehat, taman permainan kanak-kanak, gerai dan sebagainya.
HULU SELANGOR
- Air Terjun Sungai Gabai – Destinasi air terjun yang agak pedalaman terletak di Sungai Lui ini memerlukan anda melalui jalan kampung namun masih boleh diakses dengan kereta. Destinasi air terjun ini merupakan salah satu air terjun yang ada di Hulu Langat yang sering menjadi kunjungan orang ramai. Kawasan air terjun dia juga sangat redup dan air terjunnya juga agak tinggi. Sesuai untuk mandi manda bersama keluarga dan bbq di sini. Kemudahan seperti bilik persalinan, surau, pondok rehat dan parkir kereta juga tersedia.
- Air Terjun Sungai Tekala – Terletak di Jalan Sungai Lalang, destinasi air terjun ini terletak di dalam hutan lipur rekreasi yang terjaga dan juga mudah diakses dengan kenderaan. Setiap minggu memang ramai orang yang ke sini samaada untuk mandi ataupun sekadar jalan jalan mengambil angin hutan lipur. Sungai yang mengalir di sini juga agak berbatu, airnya tidak dalam dan sangat sesuai untuk kanak-kanak. Di sini tiada tempat tadahan yang lapang untuk orang dewasa berenang dan menyelam. Kemudahan asas seperti tandas, laluan jalan kaki berbata, tangga dan pengawasan warden di sini membuatkan ianya satu destinasi yang sangat sesuai dan selamat untuk berkelah di sini bersama keluarga.
- Sungai Pangsun – Destinasi Pansun yang terletak di Batu 22 Hulu Langat memang popular sebagai destinasi percutian di kalangan berkeluarga mahupun institusi tertentu untuk berkelah atau mengadakan kem bina semangat mahupun hari keluarga. Di sini terdapat beberapa penginapan yang menawarkan resort dan chalet di tepi sungai termasuk juga dengan aktiviti-aktiviti outdoor yang menarik. Antara resort yang terkenal di sini ialah Impian Rimba Resort.
- Sungai Lopoh Village – Bagi yang ingin bermalam di tepi sungai dan berada di kawasan kampung yang sangat mendamaikan, apa kata bercuti ke sini. Perkampungan Sungai Lopo ini terdapat banyak chalet atau homestay tepi sungai yang sangat berpatutan untuk disewa. Air sungainya memang tidak lebar tapi cukup dingin dan puas hati kalau bercuti dengan keluarga. Di sini juga ada pondok-pondok rehat yang boleh disewa secara harian sekiranya anda ingin berkelah di sini untuk sehari sahaja.
- Lubuk Manggis – Lubuk Manggis merupakan salah satu pesisiran sungai di Pangsun yang juga tidak kurang menariknya untuk mereka yang ingin datang berkelah mandi air sungai. Di sepanjang Lubuk Manggis ini terdapat banyak pondok-pondok yang boleh disewa untuk berehat dan letak barang sambil-sambil melihat anak-anak mandi manda. Air sungainya memang jernih dan redup dikelilingi pokok-pokok.
- Sungai Congkak – Satu lagi destinasi air terjun atau air sungai yang sangat popular di Hulu Langat. Destinasi ini juga sangat mudah diakses dengan kereta dan terdapat banyak chalet dan penginapan yang menarik di tepi sungai yang boleh disewa. Pondok-pondok rehat juga banyak dan di sini juga terdapat kolam memancing. Kawasan berkelah di Sungai Congkak ini juga agak panjang dan anda tidak perlu bersesak-sesak dengan pengunjung terutamanya di hujung minggu.
- Ostrich Wonderland – Satu tempat menarik di Hulu Langat yang pasti membuatkan anak-anak teruja melihat burung tinggi yang pelbagai saiz dan umur. Ostrich Wonderland di Semenyih ini merupakan ladang ternakan unta dan terdapat juga beberapa binatang menarik lain yang dijaga di sini seperti arnab, keldai, burung merak dan ayam belanda. Kulit telur burung unta yang dihiasi dengan awan larat menarik juga boleh dibeli oleh pengunjung sebagai cenderahati.
- Kolam Air Panas Sungai Serai – Bagi yang ingin berendam anggota badan di kolam air panas, apa kata singgah di Batu 11, Hulu Langat. Kolam air panas semulajadi ini dipercayai bagus untuk mereka yang ada penyakit gatal-gatal kulit. Di kolam ini pengunjung disediakan kerusi yang boleh dibawa ketengah-tengah kolam untuk duduk dan berendam. Kebiasaanya pengunjung datang ke sini pada waktu pagi dan petang. Malam hari ada juga datang namun tidak ramai.
- Kolam Air Panas Batu 16 – Sebuah lagi kolam air panas semula jadi yang terletak di Kampung Dusun Tua, Hulu Langat. Kolam air panas ini dipecah kepada dua bahagian iaitu lelaki dan perempuan. Jadi kalau anda datang suami isteri, memang terpaksalah berpecah dua. Kemudahan yang ada di sini juga sangat basic seperti tandas, wakaf dan tempat bersalin. Tiada tiket yang perlu dibayar namun tabung derma disediakan untuk mereka yang ingin membantu secara ikhlas memandangkan kolam ini telah diwakafkan oleh pemilik tanahnya.
KUALA LANGAT
- Pantai Morib – Destinasi pantai peranginan yang popular di Banting, Selangor dan di sini terdapat beberapa pilihan penginapan untuk disewa seperti Gold Coast Morib Resort dan Hotel Impian Morib. Pantai Morib ini terbahagi kepada dua yang dikenali di kalangan orang setempat dengan nama Pantai Morib Baru dan Pantai Morib Lama. Kedua-dua pantai ini hanya bersebelahan di mana Pantai Morib Baru lebih sesuai kalau nak bermain air laut (itupun kalau air pasang) manakala kawasan Pantai Morib Lama lebih terkenal dengan beberapa tempat makan yang menarik seperti medan ikan bakar.
- Gold Coast Morib Resort – Salah satu resort yang popular dan sering menjadi pilihan pengunjung berkeluarga ialah Gold Cost Morib Resort kerana di resort ini ada taman tema air khas untuk pengunjung. Taman tema air di sini memang sangat menarik terutamanya untuk kanak-kanak kerana mempunyai beberapa kolam dan gelongsor air yang pasti membuatkan anak-anak teruja. Selain itu, lokasinya juga strategik dengan beberapa tarikan lain membuatkan destinasi ini sering menjadi tumpuan warga kota setiap hujung minggu. Untuk dapatkan harga penginapan yang lebih murah, sila tempah awal-awal.
- Pantai Kelanang – Destinasi pantai yang terletak tidak jauh dari Pantai Morib dan pasir pantai di sini juga lebih putih. Walaubagaimanapun, pantai ini hanyalah sesuai untuk bersiar-siar dan ambil angin pantai sahaja, aktiviti mandi manda di sini agak tidak menarik kerana air lautnya yang agak berselut. Bagi yang nak memancing ke laut, anda juga boleh sewa bot di sekitar kawasan ini yang diusahakan oleh penduduk setempat.
- Pantai Tanjung Rhu – Pantai ini tidak mempunyai kemudahan seperti dataran berbatu dan tempat rehat seperti di Pantai Morib. Pantai ini lebih sesuai sekiranya anda ingin lepak-lepak ambil angin pantai dan tambahan pula, pesisiran pasir pantainya memang putih bersih. Dari pintu masuk Pulau Carey ke Pantai Tanjung Rhu, perjalanan mengambil masa sekitar 10-15 minit. Satu destinasi alternatif tepi pantai untuk mereka yang lebih sukakan privasi dan ketenangan.
- Pulau Carey – Destinasi ini lebih tertumpu kepada tarikan alam semulajadi. Terdapat juga tarikan pantai dan kawasan yang menarik yang sering menjadi lokasi perkhemahan. Kawasan Pulau Carey juga penuh dengan ladang kelapa sawit yang merupakan kawasan perusahaan persendirian. Jadi kalau anda seorang yang suka ber’camping’ dan berkhemah, bolehlah survey-survvey destinasi ini.
- Bukit Jugra – Destinasi atas bukit ini menawarkan pemandangan yang menarik dari puncak di mana pengunjung boleh mengambil gambar pemandangan Pantai Morib, Pantai Kelanang, Sungai Banting dan juga Pulau Carey. Di atas Bukit Jugra juga terdapat sebuah rumah api yang menjadi panduan untuk kapal di Laut Selat Melaka. Selain itu, Bukit Jugra juga terkenal sebagai tapak untuk sukan udara paragliding.
- Rumah Api Bukit Jugra – Merupakan menara konkrit berwarna putih yang telah dibina sejak tahun 1976 lagi. Rumah api ini mengadap ke arah laut Selat Melaka dan memainkan peranan penting sebagai rujukan geografi untuk para nakhoda kapal di lautan. Struktur menara rumah api ini adalah setinggi 26 meter dan terletak pada ketinggian 146 meter di atas paras laut. Biasanya orang datang ke sini hanya untuk melihat pemandangan dan kalau kena waktu yang tepat, anda boleh melihat orang bermain paragliding.
- Paya Indah Wetlands – Sebuah tempat yang menarik di Kuala Langat untuk dilawati sekiranya anda seorang yang sukakan aktiviti eko pelancongan. Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini ialah melihat burung-burung liar, memberi makan badak air/buaya, melihat ikan parapaima, jungle trekking, berkayak di tasik dan berbasikal. Di sini juga terdapat resort sekiranya anda ingin bermalam.
GOMBAK
- Forest Research Institute of Malaysia (FRIM) – Destinasi pelancongan yang sangat popular di Kepong untuk aktiviti seperti berbasikal, berkelah, bersiar-siar dalam rimba dan sebagainya. Antara tarikan utama di sini ialah canopy walk yang agak tinggi dan panjang di mana pengunjung boleh berjalan melaluinya untuk melihat keindahan flora dan fauna di sini. Terdapat juga penginapan dan resort yang disediakan untuk mereka yang ingin bermalam dan melakukan aktiviti yang lebih banyak.
- Batu Caves – Salah satu destinasi pelancongan yang sangat popular di Negeri Selangor baik pelancong tempatan mahupun luar negara. Rata-rata yang datang ke sini kerana ingin melihat budaya dan keagamaan masyarakat Hindu terutamanya ketika festival-festival seperti Thaipusam. Antara aktiviti yang wajib dilakukan adalah menyusuri 272 anak tangga sebelum sampai ke bahagian gua yang mempunyai kuil dan statu patung dewa Hindu.
- Gua Damai Extreme Park – Terletak tidak jauh dari destinasi Batu Caves, di sini anda boleh melakukan aktiviti-aktiviti outdoor yang menyeronokkan seperti rock climbing ataupun meneroka gua. Selain di Menara KL, puncak bukit di sini juga sering menjadi lokasi untuk aktiviti ekstrem lain seperti Base Jumping. Memandangkan puncak bukit ini lebih rendah daripada menara, memang lebih mendebarkan kalau anda lihat mereka melakukan aksi-aksi terjunan dari bawah.
- Hutan Lipur Bukit Lagong – Sebuah lagi destinasi menarik untuk mereka yang ingin lakukan aktiviti outdoor seperti wall climbing, berkayak, berkhemah ataupun jungle trekking. Kemudahan asas untuk pengunjung juga disediakan dan di sini juga terdapat kawasan air terjun untuk aktiviti berkelah dengan keluarga. Sebenarnya di sekitar Hutan Lipur Bukit Lagong ini terdapat banyak tarikan pelancongan lain yang tidak jauh lokasinya seperti Batu Caves, Hutan Rimba Komenwel & Hutan Rimba Kancing.
- Air Terjun di Hutan Lipur Sungai Tua – Destinasi mandi manda air terjun yang agak popular yang berada di Selayang dan terletak tidak jauh dari Empangan Batu. Kawasan air terjunnya tidaklah terlalu besar dan kalau yang dewasa nak berenang atau menyelam, bukan di sini jawapannya. Kemudahan seperti tempat bersalin pakaian, laluan jalan kaki, gerai dan parking kereta ada disediakan di sini dan bagi mereka yang nak berkhemah pastikan berhubung dengan pejabat hutan daerah di sini.
- Air Terjun di Hutan Lipur Kanching – Destinasi air terjun yang terletak tidak jauh dari satu lagi tarikan di Gombak iaitu Taman Rimba Templer. Air terjun di sini memang sangat menarik dan sejuk airnya. Kemudahan asas yang wajib untuk pengunjung disediakan baik laluan jalan kaki, tempat letak kereta, gerai ataupun tapak perkhemahan. Bagi yang suka meredah hutan, di sini juga merupakan salah satu destinasi yang ideal untuk melepaskan gian anda.
- Air Terjun di Hutan Rimba Templer – Air terjun di sini bertingkat-tingkat dan sesuai sebagai lokasi perkelahan di hujung minggu bersama keluarga. Kemudahan asas di sini seperti laluan jalan kaki dan tempat letak kereta memang ada tersedia. Suasana air terjun dikelilingi dengan pokok-pokok membuatkan mandi manda di sini sangat nyaman sekali. Lokasinya mudah diakses dan hanya terletak kira-kira 25km dari KL dan 7 km dari bandar terdekatnya iaitu Rawang.
- Tasik Biru Kundang – Tasik ini merupakan sebuah tasik yang terhasil daripada aktiviti pelombongan bijih timah. Kini ianya menjadi tempat rekreasi dan bersiar-siar orang setempat. Antara aktiviti menarik yang boleh dicuba di sini ialah menunggang jetski yang boleh disewa oleh orang ramai. Nama tasik ini ‘biru’ kerana warna airnya yang kebiruan dan memang kebiasaannya kalau di sesetengah tempat bekas lombong, air tasiknya akan menjadi biru seperti di Terengganu yang dipanggil tasik Pepsi Blue.
SABAK BERNAM
- Ladang Mangga Sungai Limau – Ladang yang diusahakan oleh orang kampung ini hanya terletak dalam 5-7 km dari Pekan Sungai Besar. Setiap kali musim buah berderet gerai di sepanjang jalan di antara Kuala Selangor-Hilir Perak yang menjual buah-buah mangga yang terkenal dengan kemanisannya. Pengunjung juga boleh melawat ladang ini jika teringin melihat pokok-pokok mangga/mempelam ini dengan lebih dekat.
- Pasar Sungai Haji Dorani – Destinasi yang cukup terkenal di Sabak Bernam bagi mereka yang ingin mencari tangkapan hasil laut yang segar-segar. Antara makanan laut yang agak eksotik yang menjadi kegemaran orang ramai di sini ialah mentarang iaitu sejenis kupang bercengkerang yang kebiasaannya di masak secara bakar atau masak lemak. Bagi yang sukakan makanan laut terutamanya makanan seperti kerang bakar, anda wajib cuba mentarang dan pasti akan suka kerana rasanya yang lebih ‘tajam’.
- Pantai Bagan Nakhoda Omar – Pantai rekreasi yang cukup terkenal di Sabak Bernam sebagai lokasi untuk warga setempat beriadah dan santai-santai di waktu petang, Sayangnya pantai di sini tidak sesuai untuk aktiviti mandi manda. Pantai ini terletak tidak jauh dari sebuah perkampungan Cina serta berada di antara Pekan Sungai Besar dan Pekan Sabak Bernam. Kemudahan awam untuk pengunjung juga tersedia termasuk dengan gerai dan medan selera yang terkenal dengan makanan laut serta mee udang.
SEPANG
- Pantai Bagan Lalang – Destinasi pantai yang sesuai untuk rekreasi dan santai-santai petang bersama keluarga. Kalau nak tengok keindahan matahari terbenam, Pantai Bagan Lalang merupakan satu destinasi yang tepat. Namun sayangnya, walaupun pantai ini popular di Sepang namun untuk aktiviti mandi manda agak kurang sesuai kerana airnya yang agak berlumpur dan kerap pasang dan surut. Kebiasaannya waktu air laut surut, pengunjung boleh berjalan kaki sampai 400 meter ke tengah. Ada juga yang datang ke sini untuk camping, berkhemah dan berbulan madu di hotel sekitarnya seperti Avani Gold Coast Sepang, Hotel Sri Malaysia Bagan Lalang, Seri Bayu Resort Hotel dan Bagan Lalang Beach Resort. Ada juga tarikan untuk kanak-kanak yang boleh dilakukan di sini seperti bermain layang-layang dan menunggang kuda.
- Avani Gold Coast Sepang – Bagi yang inginkan penginapan yang menarik di Sepang, apa kata mencuba salah satu chalet atas air di resort ini. Avani Gold Coast Sepang mempunyai 315 unit chalet dan villa di atas laut di mana kalau dilihat dari pandangan udara, ianya membentuk seperti sebatang pokok kelapa sawit. Selain lokasinya yang strategik dengan kemudahan lain, resort ini juga mempunyai kolam infiniti yang sangat menarik untuk berenang terutama pada waktu petang sambil-sambil melihat sunset. Satu destinasi yang sangat ideal kalau nak berbulan madu.
- Medan Ikan Bakar & Makanan Laut – Kalau anda bercuti ke Pantai Bagan Lalang, jangan lupa singgah makan malam di beberapa restoran makanan laut di sini yang terkenal dengan keenakannnya, kualitinya yang segar dan harganya yang berpatutan. Antara restoran terkenal di sini ialah Restoran Bayu Malam Wak Lan Ikan Bakar & Seafood, Restoran Senandung Malam Seafood, Restoran Terapung H.M Sri Bagan Sdn Bhd dan Bagan Lalang Sea View Restaurant.