Usahawan Keropok Lekor dan Satar TEKUN Nasional

Hanya berbekalkan modal RM40, seorang pengusaha keropok dan sata ikan berasal dari Kuala Kemaman kini mampu meraih pulangan sehingga RM18,000 sebulan daripada perniagaan yang diusahakan lebih 20 tahun lalu hasil bantuan TEKUN Nasional.

Rohani Awang Mat, 51, berkata tidak mudah cabaran yang dilalui olehnya dan suami Pazli Muda, 56, apatah lagi mereka pada mulanya terpaksa bermula dari kosong ekoran tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pembuatan keropok atau produk hiliran lain dari ikan seperti sata.

“Saya terpaksa berhenti kerja sebagai kerani di sebuah syarikat kereta terpakai kerana menjaga ibu yang sakit ketika itu…selepas setahun saya menjaga ibu, kami menghadapi masalah kewangan ekoran suami ketika itu hanya bekerja sebagai Pembantu Am Rendah di Intan (Institut Tadbir Awam Negara) Wilayah Timur, di sini.

“Dari situ saya mencari jalan menjalankan perniagaan keropok dengan mengupah dua orang pekerja menerusi pinjaman dengan TEKUN Nasional sebanyak RM7,000… dalam erti kata lain saya ketika itu adalah seorang taukeh keropok.

“Tetapi selepas beberapa ketika saya merasakan tidak berbaloi mengupah orang kerana untung yang sedikit…dari situ saya mula berbincang dengan suami dan akhirnya mengusahakan sendiri pembuatan keropok yang dipelajari daripada ibu saya sendiri hingga hari ini,” katanya yang mesra dipanggil Kak Ani.

Kak Ani ditemui Bernama pada Karnival Usahawanita 2018 di Pantai Kuala Kertih di sini hari ini.

Beliau antara usawanita yang dibantu oleh pihak TEKUN Nasional bagi menjalankan dan mengembangkan perniagaan masing-masing menerusi pinjaman yang diberikan.

Mengimbas kembali cabaran memulakan perniagaan sata dan keropoknya, Kak Ani berkata perniagaanya bermula di ruang rumah mereka seluas 10 kaki persegi di Kuala Terengganu sebelum berpindah ke sebuah rumah yang lebih besar di Kuala Kemaman berharga RM10,000 pada tahun 1999.

“Demi membeli rumah itu saya tahan nafsu saya untuk membeli belah dan duit simpanan dari untung berniaga itu saya tambah pinjaman TEKUN bagi membuat pengubahsuaian rumah tersebut.

“Alhamdulillah perniagaan kini semakin berkembang dengan peningkatan produk jualan termasuk sos keropok keping dan satar gulung (goreng) . Saya juga kini mempunyai 18 pekerja yang terdiri daripada penduduk tempatan.

“Terima kasih kepada TEKUN Nasional kerana selama ini tidak pernah berhenti membantu perniagaan Kak Ani hingga berjaya ke tahap ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi usahawanita, Wan Latifah Wan Ismail, 36, yang menghasilkan isi ikan untuk sata dan sata sejuk beku berkata dengan bantuan TEKUN Nasional, perniagaanya kini dapat dikembangkan ke seluruh negara.

“Saya dan suami, Mohamadon Sukaini, memulakan perniagaan Serasa Asli Enterprise pada tahun 2016 dengan pinjaman berjumlah RM15,000 yang menghasilkan isi sata bagi pasaran tempatan.

“Selepas beberapa tahun perniagaan kami berjaya dikembangkan ke negeri-negeri lain dengan penghantaran menerusi bas ekpress ke Perak, Johor, Kedah dan Kuala Lumpur dan kini anggaran keuntungan boleh mencecah hingga RM25,000” katanya.

Katanya, isi sata yang dihasilkan menggunakan 100 peratus ikan parang, kelapa muda dan 13 bahan-bahan lain mengikut resipi turun temurun milik keluarganya.

“Selain saya beruntung kerana anak-anak saya seramai tiga orang berumur 19 hingga 21 tahun yang membantu menguruskan perniagaan, pinjaman daripada pihak TEKUN Nasional juga tidak dinafikan banyak mengubah ekonomi keluarga kami.

“Jika dahulu ibu dan ayah hanya menjalankan perniagaan keropok keping tapi dengan bantuan TEKUN Nasional produk keluaran syarikat kami dapat dirasai bukan sahaja penduduk tempatan malah seluruh rakyat Malaysia kini,” katanya.— BERNAMA

–BERNAMA

Sumber: http://www.bernama.com/en/news.php?id=1452171

Published by

Dennis Zill

Freelance Blogger - Gemar mengambil gambar (masih lagi belajar teknik yang betul) - Suka Jalan-jalan & Traveling untuk mencari pengalaman baru - Pencinta kucing yang tegar. Kenali Dennis Gill lebih lanjut di SINI