Secara Ringkas Tentang Sejarah dan Info – Kuwait

Secara Ringkas Tentang Negara Kuwait

Negara Kuwait ialah sebuah negara raja berperlembagaan yang terletak di pinggir utara Arab Timur di hujung Teluk Parsi, bersempadan dengan Iraq di utara dan Arab Saudi di selatan. Kuwait juga berkongsi sempadan maritim dengan Iran. Kuwait mempunyai panjang pantai kira-kira 500 km.

Nama Kuwait merupakan singkatan perkataan Arab yang membawa maksud “kubu yang dibina dekat air”. Majoriti penduduk negara ini tinggal Kuwait City. Sehingga tahun 2022, Kuwait mempunyai populasi seramai 4.67 juta orang di mana 1.85 juta daripadanya adalah warga Kuwait manakala baki 2.8 juta adalah warga asing dari lebih 100 negara.

Dari segi sejarah, lokasi Kuwait ini merupakan sebahagian daripada tamadun Mesopotamia purba. Rizab minyak ditemui dalam kuantiti komersial pada tahun 1938 dan kemudiannya mula mengeksport minyak mentah buat kali pertama pada tahun 1946. Hasil daripada pendapatan minyak, negara ini telah mengalami pemodenan berskala besar antara tahun 1946 hingga 1982.

Kuwait merupakan sebuah negara emirat dimana Emir merupaka ketua negaranya dan keluarga al-Sabah merupakan pemerintah yang mendominasi sistem politik negara ini. Pemerintah-pemerintah negara ini yang terkini adalah dari keturunan Sabah I sejak tahun 1756. Sabah I telah dipilih oleh komunitinya yang kebanyakannya terdiri daripada saudagar-saudagar untuk mentadbirkan hal ehwal negara termasuk hal ehwal luar negeri dan percukaian. Pada September 2020, Putera Mahkota Kuwait Sheikh Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah menjadi Emir Kuwait ke-16 dan pengganti kepada Emir Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, yang meninggal dunia pada usia 91 tahun. Pada Oktober 2020, Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah telah dilantik sebagai Putera Mahkota.

Baca: Pelancongan – 9 Tempat Menarik di Kuwait

Pada tahun 1990, Kuwait telah diceroboh oleh negara jiran, Iraq atas sebab pertikaian pengeluaran minyak. Pendudukan Iraq di Kuwait berakhir pada 26 Februari 1991 selepas campur tangan tentera oleh pakatan tentera yang diketuai oleh Amerika Syarikat dan pelbagai negara lain. Kuwait mempunyai kehadiran tentera AS terbesar di rantau Timur Tengah di mana, terdapat lebih 14,000 anggota tentera AS ditempatkan di negara ini. Kem Arifjan merupakan pangkalan tentera AS terbesar di Kuwait.

Kuwait mempunyai rizab minyak keenam terbesar di dunia menjadikannya negara kelima terkaya di dunia mengikut pendapatan negara kasar per kapita. Manakala, Dinar Kuwait ialah mata wang yang mempunyai nilai tertinggi di dunia. Kuwait juga mempunyai rizab gas asli yang banyak.

Baca: Contoh Karangan Laporan: Hari Keusahawanan Di Sekolah

Sejak tahun 2016, China telah menjadi rakan dagang terbesar Kuwait. Di bawah Inisiatif Belt and Road, Kuwait dan China mempunyai pelbagai projek kerjasama termasuk South al-Mutlaa yang kini sedang dalam pembinaan di utara Kuwait. Sebagai sebahagian daripada Wawasan Kuwait 2035, Kuwait menyasarkan untuk meletakkan dirinya sebagai hab global bagi industri petrokimia. Kilang penapisan Al Zour ialah kilang penapisan terbesar di Timur Tengah yang juga merupakan projek kerjasama Kuwait-China di bawah Inisiatif Belt and Road.

Published by

Dennis Zill

Freelance Blogger - Gemar mengambil gambar (masih lagi belajar teknik yang betul) - Suka Jalan-jalan & Traveling untuk mencari pengalaman baru - Pencinta kucing yang tegar. Kenali Dennis Gill lebih lanjut di SINI