Kucing Parsi tergolong di dalam kategori long-haired, dimana ia mempunyai double coat yang membentuk lapisan bulu-bulunya. Lapisan pertama adalah pendek, tebal dan padat manakala lapisan kedua pula lebih panjang, jarang dan lembut.
Jika anda memelihara kucing Parsi, maka anda perlu menyikatnya setiap hari. Hal ini adalah disebabkan oleh bulu-bulunya yang amat mudah berselirat, tergumpal dan memerangkap kotoran. Sepertimana kucing long-haired yang lain, kucing Parsi mudah membentuk mats yang terjadi akibat gumpalan bulu yang sudah gugur tetapi terperangkap di antara bulu yang sedang tumbuh. Gumpalan ini akan semakin membesar kerana ia menarik bulu-bulu lain dan ini akan menyebabkan kesakitan pada kulit kucing jika ditarik.
Dek kerana itulah jika anda ada membela kucing jenis ini, anda wajib dan perlu untuk menyikatnya setiap hari (Bergantung kepada kepanjangan bulu kucing itu). Gumpalan ini biasa terjadi pada kawasan yang sukar dicapai oleh kucing. Percayalah, kucing Parsi anda tidak akan mampu menjaga keseluruhan bulunya dan anda perlu membantu kucing anda dalam hal ini. Menyikat bulu kucing pada setiap hari dapat mencegah anda dari masalah yang lebih memakan masa dan menyakitkan pada masa akan datang.
Antara kawasan yang biasa terjadinya gumpalan dan simpulan adalah ketiak, abdomen, belakang telinga, ekor, bahagian bawah ekor dan bahagian belakang kaki belakangnya. Walaupun ianya nampak remeh tetapi ingatlah bahawa gumpalan bulu ini biasanya terjadi hampir pada permukaan kulit. Bukan sahaja bulunya yang terperangkap di situ malah segala kekotoran dan kelembapan yang menyebabkan kulit mengalami ruam dan kepedihan. Untuk kes yang serius, anda mungkin perlu membawanya ke vet untuk dicukur keseluruhan bulunya. Risau tak? Menyikat juga dapat mengurangkan bebola rambut atau hairball yang terkumpul di dalam perut. Bebola rambut ini merupakan bulu gugur yang terperangkap di dalam perut kucing semasa ia mengandam atau menjilat bulu-bulunya.
Sikat yang terbaik adalah dari jenis metal comb dengan giginya yang panjang, sesuai dengan bulu panjang yang dimiliki oleh kucing Parsi. Sesetengah kucing tidak menyukai sesi menyikat ini namun ia masih boleh diajar. Jika terlalu sukar dan kucing anda sentiasa melarikan diri, berikan makanan sebagai hadiah setelah selesai sesi menyikat. Sesi menyikat ini lebih mudah diajar pada anak kucing berbanding kucing dewasa. Jika semuanya berjalan lancar, kucing anda pasti akan mengiau keseronokan dan mula berbaring setiap kali melihat anda mengeluarkan sikatnya. Same goes to my kucing
Kucing Parsi juga perlu dimandikan tetapi tidak perlulah sehingga tiap-tiap hari. Bergantung kepada keadaan, sekadar 3-4 hari sekali atau seminggu sekali pun sudah cukup. Ini adalah untuk menjaga kebersihan bulunya agar kekal sihat, bersih dan lembut terutamanya jika kucing anda berbulu putih.
MATA DAN HIDUNG KUCING PARSI
Mata dan hidung kucing Parsi cenderung untuk menghasilkan sisa lebih dari kadar biasa berbanding kucing lain. Ini adalah kerana bentuk fizikal bahagian kepala kucing Parsi itu sendiri. Anda perlu mengawasi dan membersihkannya dengan menggunakan kapas atau kain lembab.
Periksa juga bahagian dalam telinga jika ada lapisan yang berminyak. Lapisan berminyak itu adalah untuk memerangkap kotoran dan jika dibiarkan, kotoran dan habuk itu akan menjadi keras dan merimaskan kucing itu sendiri. Bersihkan telinganya dengan menggunakan putik kapas lembab.
KUCING INDOOR
Selain itu, adalah baik untuk anda jadikan kucing Parsi anda sebagai kucing indoor. Ini disebabkan perwatakan kucing Parsi adalah lembut dan tidak suka bergaduh, dan mungkin akan dibuli oleh kucing-kucing lain di sekitar rumah. Malah bulunya juga amat mudah kotor dan memerangkap kotoran dan habuk jika anda membiarkannya di luar.
Namun begitu, untuk menjadikan kucing anda sebagai indoor, anda perlu memastikan kucing Parsi anda
- mempunyai banyak permainan,
- masa yang anda luangkan bersamanya,
- teman kucing yang lain dan
- tempat untuknya mencakar.
Anda juga mungkin perlu menyediakan tempatnya untuk berjemur. Kucing Parsi gemar berbaring di bawah sinaran matahari terutamanya pada waktu pagi. Meletakkan rak atau meja di tepi tingkap tertutup (lutsinar) pun sudah mencukupi untuknya bersantai di bawah cahaya matahari. Gunakanlah kreativiti anda untuk membolehkannya berjemur tanpa melepaskannya keluar dari rumah.
Jika anda dapat menawarkan ini semua maka kucing Parsi anda akan menjadi kucing indoor yang gembira.
Bukan sahaja kepada kucing Parsi malah apa sahaja jenis kucing yang anda miliki itu perlulah di beri kasih sayang dan perhatian yang cukup. Kucing Parsi adalah sangat rapat dengan tuannya dan akan tertekan jika anda tidak dapat meluangkan masa kepadanya. Kasih sayang yang anda berikan kepadanya pasti akan dibalas berganda-ganda. Insyaallah