Pokok Subur Di Halaman Rumah

Alhamdulillah, hari ini bangun seawal 6 pagi. Subuh pula sekitar 6.15pg, jadinya kena tunggu. Sempat lagi buat thumbnail untuk 2 video di YouTube Channel ‘backup’ aku. Rasa agak tepu sedikit sebab back to back bekerja yang pelbagai.

Hari ini, seperti biasa aku balik rumah Lenggeng untuk ziarah anak-anak pokok yang ditanam pada minggu lepas. Alhamdulillah, hidup sibur. Nampaklah beberapa helai daun dan ranting baharu. Seronok bukan kepalang. Sempatlah juga memetik untuk dijadikan ulam .

Baca: GUANGZHOU HUAISHENG MOSQUE

Tadi, aku tambah tanam anak benih kencur / cekur. Makanan kegemaran aku sewaktu kecil. Agak jarang mak masak menu ini. Kalau masak, memang habis seperiuk aku makan. Tengahari, petang dan malam. Sedap dan sangat membuka selera.

Balik kampung tempoh hari, kakak aku bagi bekal seplastik anak benih pokok cekur / kencur ini. Alamak, mana nak tanam tak tahulah. Nak makan, aku pulak memang duduk seorang. Acaner tu.

Harap dapat tumbuh subur dan cepat-cepat mengeluarkan dedaun yang lebar, menghijau dan banyak. Umbisinya boleh dijadikan bumbu dan daunnya pula boleh dijadikan hiasan / penambah perasa dalam masakan. Nyum Nyum Nyum

Tinggal nak tanam pokok kari dan serai sahaja lagi. Antara bahan asas yang selalu aku beli di pasar. Lepas ini, tak payah membeli barangan ini. Petik je di halaman rumah hihi.

Melawat Rumah di Albury 1, Mahkota Hill

Cuti panjang minggu ini aku ambil kesempatan untuk melawat rumah aku di Albury 1, Mahkota Hill Lenggeng. Kalau tak silap, sewaktu promosi beli rumah dulu, mereka menggunakan perkataan ‘South Semenyih’. Tapi rumahnya alamat rumah terletak di daerah Lenggeng dibawah pentadbiran Majlis Perbandaran Nilai. Insyaallah tahun depan dibawah pentadbiran Majlis Bandaraya Seremban pula katanya.

Sudah hampir setahun juga aku membayar ansuran bulanan rumah ini. Nasib baik ada KWSP. Ringan sedikit beban tu. Aku perhatikan, projek perumahan 2 tingkat Albury 2 pun sudah siap. Tengok gaya, macam sudah ada yang duduk kat situ. Apatah lagi di Albury 1 dimana aku beli rumah. Memang sudah ramai yang duduk situ. Tak kurang juga yang dok buat ubah suai rumah sana sini (termasuklah jiran aku).

Agak semak samun juga keadaan rumah aku sekarang ini. Tak pasti kenapa subur sangat tanah kat depan rumah tu hahaha. Agaknya sebab Xavier ada ditanam disitu kot ahaks. Agak susah nak memangkas / menebas semak samun situ. Jadinya, aku gigih membeli racun rumpai dan siram je kat timbunan rumput kat situ. Harapnya, tatkala aku ziarah minggu depan, rumput tu sudah mati kering. Lepas tu, aku nak tutup dengan plastik hitam untuk elak rumput tumbuh. Hajatnya, nak tanam sesuatu. Tapi, tak memikir lagi jenis tanaman apa yang nak ditanam kat situ.

Aku langsung tak memikir nak ubah suai rumah Lenggeng. Sebabnya jaraknya agak jauh dari tempat kerja / pengangkutan awam. Aku beli pun sebab nak dapatkan asset hartanah je pun. Sekurang-kurangnya duit aku dapat disalurkan pada sesuatu yang bermanfaat pada masa hadapan. Buat masa ini,aku memikir nak sambung belajar Sarjana kat UKM je. Lain-lain, aku tak fikir. Nak kumpul duit kearah sambung belajar je.

Pertama Kali Membayar Cukai Tanah dan Taksiran

Alhamdulillah, alhamdulillah dan alhamdulillah yang amat. Sedar tak sedar, rupanya aku sudah mula wajib membayar cukai tanah dan taksiran rupanya hahaha. Walaupun aku tak duduk lagi kat rumah itu, bayaran cukai tetap kena bayar. Nasib baik tak mahal mana. 

Cukai Tanah dan Cukai Taksiran ini berbeza. Satu kepada Pejabat Tanah dan Galian manakala satu lagi untuk kerajaan tempatan. Untuk kes aku ialah Majlis Perbandaran Nilai. Tapi, kalau tak silap dulu katanya Majlis Perbandaran Nilai akan bergabung dengan Seremban untuk membentuk Bandaraya. Kalau tak silap aku lah. Tak tahu apa statusnya sekarang selepas kerajaan bertukar ek.

Actually jakon juga perasaanya sebab kena bayar cukai tanah hahaha. Dahulu, rasanya mak bapak je yang fikir pasal benda ini. Rupanya la nie aku pun dah kena fikir sama. Tak tahulah apa tindakannya kalau tak bayar cukai. Bayar dan jalankan je kewajiban.

Harap murah rezeki dan melimpah ruah belaka huhu.

Tiga Panduan Masuk Rumah Baharu

Pertama: Periksa Keadaan Rumah

Sebaik sahaja mendapat kunci rumah, terus lawati rumah baharu itu. Periksa keadaan persekitaran dan kemasan binaan pada rumah terutamanya pintu, tombol, sinki, pam tandas, bumbung. Jika pembelian rumah adalah secara berpakej contohnya bersekali dengan kabinet dapur dan penghawa dingin, pastikan ia telah dipasang pada tempat yang sepatutnya. Ambil gambar dan tandakan untuk diajukan kepada pihak pemaju.

Kedua: Periksa Keadaan Lantai / Jubin

Ketuk perlahan setiap sudut lantai atau dinding bagi memastikan pemasangan jubin adalah kemas dan tidak lopong. Kebiasaannya, jubin yang dipasang tidak kemas akan padat pada tengah-tengah, namun lopong di bahagian sudut. Pastikan juga tiada apa-apa keretakan pada binaan rumah samaada pada dinding mahupun pagar.

Ketiga: Pasang Geriji dan Kunci Semua Pintu / Tingkap

Perlu disegerakan bagi memastikan keselamatan barangan di rumah. Ini bagi mengelakkan kejadian kecurian terutamanya kabel elektrik. Jika perlu, tukar kunci pintu depan dan belakang rumah. Beli mangga khas untuk mengunci kesemua pintu dan tingkap.

Tips Beli Rumah Pertama

Kali ini kita kongsikan pengalaman tatkala membeli rumah pertama pada tahun lepas.  Yelah, sampai sekarang macam tak percaya bakal punya rumah sendiri. Dulu aku pun ingat orang nak beli rumah ni kena stabil sana sini. Sebenarnya, tak lah susah mana. Sebab dalam kes aku, beli rumah yang under construction dan secara kebetulan ada agen yang menguruskan dari mula hingga tamat. Hanya perlu sediakan wang sahaja. Pengsan.

Ilmu Mengenai Hartanah

Untungnya budak-buak zaman sekarang. Segala macam ilmu hanya di hujung jari sahaja. Zaman muda mudi aku dulu perkongsian ilmu berkenaan hartanah memang kurang. Ilmu-ilmu ini boleh didapati di laman web / blog berkaitan hartanah secara percuma. Kalau ada duit lebih sedikit, boleh je hadiri mana-mana seminar atau beli je buku/ebook. Nak lagi mudah, follow je laman sosial otai-otai jutawan hartanah.

Daripada ilmu ini, bolehlah buat kajian atau usha-usha rumah mana yang berkenan dihati berdasarkan kepada kemampuan masing-masing.

Duit Simpanan

Paling penting. Sila simpan duit (walaupun sedikit) sejak belajar di Universiti lagi. Duit biasiswa atau PTPTN tu jangan belanja sesuka hati. Simpan sedikit untuk bekalan kelak. Kalau berkesempatan, buatlah kerja separuh masa seperti kerja di butik / pasaraya atau perniagaan online. Sekurang-kurangnya boleh timba pengalaman dan duit pun bertambah.

Beli Ikut Kemampuan

Kalau boleh, belilah rumah yang bersesuaian. Ukur baju dibadan sendiri. Jangan beli rumah yang terus ‘mahal’ dan memerlukan ansuran bulanan yang tinggi. Mulakan dengan yang sedikit dan mengikut kemampuan. Contohnya rumah flat atau apartment biasa. Tapi kalau sudah ketentuan-Nya kau dapat rumah yang memang agak tinggi, nak buat macam mana kan? Kita merancang, Tuhan yang menentukan.

Macam kes aku, rancangnya nak beli rumah apartment atau Rumah SelangorKu. Tapi akhirnya dapat rumah terus 1 tinggal di pinggir bandar.

Pekerjaan Yang Stabil

Dahulu, jika nak buat permohonan pembelian rumah, mesti nak kerja yang berstatus tetap. Tapi kini tidak lagi rasanya. Bank akan tetap terima permohonan jika kerja berstatus kontrak tersebut. Asalkan status kontrak tersebut adalah pada tempoh yang panjang.

Apa yang penting adalah rajin dan berbaik-baiklah dengan rakan sekerja khususnya majikan. Insyaallah, semuanya akan Okay jika kita rajin dan tidak berkira buat kerja.

Agama

Bagi aku, hubungan dengan Allah swt itu tersangat penting. Kau buatlah macam mana pun tapi kalau kau tak jaga hubungan dengan yang Esa, gerenti hati kosong. Rasa macam ada je yang tak kena. Time dalam proses pencarian dan permohonan itu, cuba amalkan Solat Sunat Dhuha dan doa banyak-banyak mohon dipermudahkan segalanya.