Kisah Nabi Nuh Dalam Al Quran

Kisah Nabi Nuh Dalam Al Quran

Nama penuh Nabi Nuh ialah Nuh bin Lamik bin Matwasalah bin Khanuukh (Nabi Idris) bin Yarad bin Mahlayil bin Qanin bin Anwas bin Syits bin Adam. Menurut Ibnu Jarir, Nuh lahir 126 tahun selepas Nabi Adam wafat.

Ibnu Hibban meriwayatkan, seseorang pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: ‘Ya Rasulullah, apakah Adam itu seorang Nabi?’

Baginda menjawab: ‘Ya.’

Dia bertanya lagi: ‘Berapa lama jarak antara dirinya dengan Nuh?’

Baginda menjawab: ‘ Sepuluh abad.’

Imam Bukhari meriwayatkan: ‘Jarak antara Adam dan Nuh adalah 10 abad, semuanya beragama Islam.’

Nabi Nuh diutuskan oleh Allah SWT ketika manusia sudah menyimpang jauh dari ajaran asal dengan menyembah berhala, penuh kesesatan dan kekafiran. Ibnu Jibair menyebut, kaum Nuh bernama Bani Rasib.

Ulama berbeza pendapat mengenai umur Nuh tatkala dilantik menjadi rasul. Ibnu Jarir dan Ibnu Abbad sependapat dengan mengatakan Nuh dilantik menjadi Rasul ketika berusia 480 tahun.

Allah SWT telah berfirman di dalam beberapa surah al Quran tentang kisah Nabi Nuh dan kaumnya. Antaranya ialah Surah al A’raf, Yunus, Hud, al Anbiya, al Mukminun, as Syu’ara, al Ankabut, Nuh dan lain-lain lagi.

Surah al A’raf: 59-64

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat)”.

Ketua-ketua dari kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami nampakmu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata”.

Nabi Nuh menjawab: “Wahai KaumKu! Tidak ada padaku sebarang kesesatan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.

“(Tugasku) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah yang (diutuskan oleh) Tuhanku, serta aku memberi nasihat kepada kamu, sedang aku mengetahui (melalui wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

“Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu, dan supaya kamu bertaqwa dan juga supaya kamu beroleh rahmat?”.

Mereka terus mendustakannya, lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (matahatinya daripada melihat kebenaran).

Baca: Kisah Nabi Adam: Penciptaan Hawa

Surah Yunus: 71-73

Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) perihal Nabi Nuh, ketika ia berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sekiranya kedudukan aku dalam kalangan kamu, dan peringatan yang aku berikan kepada kamu dengan ayat-ayat keterangan Allah itu, menjadi keberatan kepada kamu, maka (buatlah apa yang kamu hendak buat, kerana) kepada Allah jualah aku berserah diri. Oleh itu, tetapkanlah keazaman kamu serta sekutu-sekutu kamu untuk melakukan rancangan jahat kamu terhadapku; kemudian janganlah hendaknya rancangan jahat kamu itu, kamu jalankan secara tersembunyi (tetapi biarlah terbuka); sesudah itu bertindaklah terus terhadapku dan janganlah kamu tunggu-tunggu lagi.

“Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (mengenai ajaran agama Allah yang aku sampaikan itu); balasanku hanyalah dari Allah semata-mata (sama ada kamu beriman ataupun kamu ingkar); dan aku pula diperintahkan supaya menjadi dari orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)”.

Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh, lalu Kami selamatkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya yang beriman di dalam bahtera, dan kami jadikan mereka pengganti-pengganti (yang memakmurkan bumi) serta Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami (dengan banjir dan taufan sehingga punah-ranah semuanya). Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan ayat-ayat kami) setelah diberi amaran.

Surah al Anbiya: 76-77

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Nuh, ketika ia menyeru (berdoa kepada Kami) sebelum (Nabi-nabi yang tersebut) itu, lalu Kami perkenankan doanya serta Kami selamatkan dia dan pengikut-pengikutnya dari kesusahan yang besar.

Dan Kami membelanya dari angkara kaum yang mendustakan ayat-ayat Kami; sesungguhnya adalah mereka kaum yang jahat; lalu Kami tenggelamkan mereka semuanya (sehingga mati lemas dengan taufan).

Surah al Mukminum: 23-30

Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya lalu berkatalah ia: “Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya?”.

Maka ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata (sesama sendiri)): “Orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, ia bertujuan hendak melebihkan dirinya daripada kamu. Dan kalaulah Allah berkehendak (mengutuskan seorang Rasul) tentulah Ia menurunkan malaikat menjadi RasulNya. Kami tidak pernah mendengar seruan seperti ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu.

“Ia tidak lain hanyalah seorang lelaki yang mengidap penyakit gila. Oleh itu tunggulah akan perubahan keadaannya hingga ke suatu masa”.

Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku tolonglah daku, kerana mereka mendustakan seruanku”.

Lalu Kami wahyukan kepadanya: “Buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); kemudian apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka, dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), maka masukkanlah ke dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap jenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu (dan pengikut-pengikutmu) kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya di antara mereka (disebabkan kekufurannya); dan janganlah engkau merayu kepadaku untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan dengan taufan sehingga mati lemas.

“Kemudian apabila engkau dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu maka hendaklah engkau (bersyukur kepada Allah dengan) berkata: ` Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menyelamatkan kami daripada orang-orang yang zalim ‘.

“Dan berdoalah dengan berkata: ` Wahai Tuhanku, turunkanlah daku di tempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik Pemberi tempat ‘ “

Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (yang mendatangkan iktibar); dan sesungguhnya Kami tetap menguji (hamba-hamba Kami).

Surah as Syu’ara: 105-122

(Demikian juga) kaum Nabi Nuh telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka.)

Ketika saudara mereka – Nabi Nuh, berkata kepada mereka: ” Hendaknya kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya.

“Sesungguhnya aku ini ialah Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu.

” Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.

“Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.

“Maka dengan yang demikian, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku”.

Mereka menjawab: “Patutkah kami percaya kepadamu, sedang engkau semata-mata diikut oleh orang-orang yang rendah (pangkatnya dan hina pekerjaannya)?”

Nabi Nuh berkata: “Dan apalah ada kaitannya pengetahuanku dengan (pangkat dan) pekerjaan mereka?

“Sebenarnya hitungan amal mereka hanya terserah kepada Tuhanku; kalaulah kamu menyedari dan memahaminya (kamu tidak berkata demikian).

“Dan aku tidak akan menghalau orang-orang yang beriman (daripada bercampur-gaul denganku).

“Aku ini hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata (kepada semua – tidak kira hina mulia)”.

Mereka (mengugut dengan) berkata: “Jika engkau tidak mahu berhenti (daripada menyiarkan agamamu itu) wahai Nuh, sudah tentu engkau akan menjadi dari orang-orang yang direjam!”

Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya kaumku telah mendustakan daku.

“Oleh itu, hukumkanlah antaraku dengan mereka, dengan hukuman tegas (yang menegakkan yang benar dan melenyapkan yang salah), serta selamatkanlah daku dan orang-orang yang beriman yang bersama-sama denganku”

Maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersama-sama dengannya dalam bahtera yang penuh sarat (dengan berbagai makhluk).

Kemudian daripada itu, Kami tenggelamkan golongan (kafir) yang tinggal (tidak turut bersama dalam bahtera).

Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.

Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

Surah al-Ankabut: 14-15

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggalah ia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka).

Maka dengan itu Kami selamatkan dia dan pengikut-pengikutnya yang turut bersama dalam bahtera, dan Kami jadikan bahtera itu satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami dan memberi pengajaran insaf) kepada sekalian makhluk.

Surah as-Syaffat: 75-82

Dan demi sesungguhnya, Nabi Nuh telah berdoa merayu kepada Kami (memohon pertolongan), maka Kami adalah sebaik-baik yang kabulkan doa permohonan.

Dan Kami telah selamatkan dia bersama-sama dengan keluarga dan pengikut-pengikutnya, dari kesusahan yang besar.

Dan Kami jadikan zuriat keturunannya sahaja orang-orang yang tinggal hidup (setelah Kami binasakan kaumnya yang ingkar).

Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:

“Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam ! “

Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan amal-amal yang baik.

Sesungguhnya Nabi Nuh itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.

Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mendustakannya).

Surah al-Qamar: 9-17

Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh juga telah mendustakan (Rasulnya); iaitu mereka mendustakan hamba Kami (Nabi Nuh) serta mereka menuduhnya dengan berkata: Dia seorang gila dan dia telah diancam (dan dihalang daripada menjalankan dakwah agama).

Lalu dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ini dikalahkan (oleh kaumku yang ingkar), oleh itu menangkanlah daku (terhadap mereka)!

Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah.

Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan.

Dan Kami bawa naik Nabi Nuh (berserta pengikut-pengikutnya) di atas (bahtera yang dibina) dari keping-keping papan dan paku;

Yang belayar laju dengan pemeliharaan dan pengawasan Kami; (Kami melakukan yang demikian dan menimpakan taufan itu) sebagai balasan bagi orang-orang yang kufur ingkar!

Dan demi sesungguhnya! Kami telah jadikan bahtera itu sebagai satu tanda yang menjadi pengajaran, maka adakah orang yang mahu beringat dan insaf?

Oleh itu, perhatikanlah bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu.

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

Surah Nuh: 1-28

Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, (dengan berfirman kepadanya): “Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya”.

dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran yang nyata;

“Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya, serta taatlah kamu kepadaku;

“Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertaqwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman)”.

(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);

“Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).

“Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, – mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

“Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;

“Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.

“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.

“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

“Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

“Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya), –

“Padahal sesungguhnya Ia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat?

“Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat,

“Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang),

“Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna,

“Kemudian Ia mengembalikan kamu ke dalam bumi (sesudah mati), dan mengeluarkan kamu daripadanya (sesudah dihidupkan semula untuk dihitung amal kamu dan diberi balasan), dengan pengeluaran yang sesungguh-sungguhnya?

“Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan,

“Supaya kamu melalui jalan-jalan yang luas padanya”.

Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak).

“Dan mereka telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan rancangan yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku).

“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr.

“Dan sesungguhnya ketua-ketua itu telah menyesatkan kebanyakan (dari umat manusia); dan (dengan yang demikian) janganlah Engkau (wahai Tuhanku) menambahi orang-orang yang zalim itu melainkan kesesatan jua”.

Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan (dengan banjir dan taufan), kemudian (pada hari akhirat) dimasukkan ke dalam neraka; maka mereka tidak akan beroleh sebarang penolong yang lain dari Allah (yang dapat memberikan pertolongan).

Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!

“Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar.

“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!”

Surah al-Isra: 3

(Wahai) keturunan orang-orang yang telah Kami bawa bersama-sama dengan Nabi Nuh (di dalam bahtera)! Sesungguhnya ia adalah seorang hamba yang bersyukur.

Surah adz Dzariyat: 46

Dan kaum Nuh (Kami juga telah binasakan) sebelum itu; sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik – derhaka.

Surah an-Najm: 52

Dan kaum Nabi Nuh sebelum itu (telah juga dibinasakan). Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang sangat zalim dan sangat melampaui batas.

Kisah Nabi Idris dalam Al Quran (Surah Maryam)

Kisah Nabi Idris dalam Al Quran (Surah Maryam)

Allah SWT berfirman, maksudnya: Dan ceritakanlah (wahai Muhammad kepada mereka, kisah) Idris (yang tersebut) di dalam al Quran. Sesungguhnya dia ialah seorang yang sangat membenarkan dan seorang Nabi. Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi. – Surah Maryam, 56-57.

Idris yang dimaksudkan ialah Khanukh. Nabi Idris merupakan anak Nabi Adam yang dikurniakan kenabian setelah Adam dan Syits. Ibnu Ishaq mecatatkan, Idris merupakan manusia pertama yang menulis dengan menggunakan pen. Baginda sempat hidup bersama Nabi Adam selama 380 tahun.

Kitab Sahihaini ada menyebut: Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW penah melewati (berjumpa) dengan Idris, sementara ketika itu, dia berada di langit keempat.

Baca: 21 Bersangka Baik Quote, Hadith dan Husnuzon kepada Allah

Ibnu Jarir meriwayatkan, Allah telah memberi wahyu kepada Idris, firmanNya, ‘Sesungguhnya Aku telah mengangkatmu setiap hari seperti amal seluruh anak cucu Adam (mungkin yang hidup sezaman dengannya). Dan Aku lebih menyukai ditambahnya amal.’

Kemudian, seorang temannya dari kalangan malaikat mendatanginya lalu berkata, ‘Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku begini dan begini.’ Kemudian dia berbicara kepada malaikat maut sehingga bertambah amalnya.

Selanjutnya, malaikat itu membawanya di antara kedua-dua sayapnya, naik ke langit bersamanya. Setibanya di langit keempat, malaikat itu disambut oleh malaikat maut. Lalu malaikat tersebut memberitahu kepada malaikat maut apa yang dibicarakan oleh Idris.

Malaikat maut bertanya, ‘Dimanakah Idris?’

Dia menjawab, ‘Di belakangku.’

Baca: Kisah Nabi Adam: Kewafatan Nabi Adam

Kemudian malaikat maut berkata: “Sesungguhnya sangat menakjubkan. Aku diutus dan dikatakan kepadaku, ‘cabutlah nyawa Idris di langit keempat.’ Maka kukatakan, ‘Bagaimana mungkin aku mencabutnya sedang aku berada di langit keempat dan Idris berada di bumi.’

Maka malaikat maut mencabut nyawanya di sana (langit keempat)

Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi.’ – Surah Maryam ayat 56

Kisah Nabi Idris dalam Al Quran (Surah Maryam) Kisah Nabi Idris dalam Al Quran (Surah Maryam) 

Kisah Nabi Adam – Qabil dan Habil

Kisah Nabi Adam - Qabil dan Habil

Firman Allah SWT, maksudnya:

Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): “Aku pasti membunuhmu!”. Berkata Habil: “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa”.

Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan sekalian alam.

Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali dengan (membawa) dosaku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka, dan yang demikian itulah pembalasan bagi orang-orang yang zalim”.

Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnyalah, maka jadilah dia seorang diantara orang-orang yang merugi.

Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak menggali-gali di bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana seharusnya menguburkan mayat saudaranya. Berkata Qabil: “Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini?” Kerana itu jadilah dia seorang diantara orang-orang yang menyesal.

Surah al Maidah: 27-31

Kitab tafsir Ibnu Katsir ada menjelaskan secara ringkas mengenai kisah Qabil dan Habil dengan merujuk kepada apa yang disebut oleh para ulama salaf.

Adam menikahkan setiap anak lelakinya dengan anak perempuan anak kembar lelaki yang lain. Habil hendak menikah dengan saudara perempuannya yang menjadi kembar Qabil yang usianya lebih tua daripada Habil. Kembar Habil adalah puteri Adam yang cantik.

Pada masa sama, Qabil bermaksud ingin menikahi saudara perempuan kembarnya sendiri. Akan tetapi, Adam memerintahkan Qabil untuk menikahkan puteri kembarnya dengan Habil, tetapi dia menolak.

Adam menyuruh kedua-dua mereka (Qabil dan Habil) agar berkorban. Sementara Adam sendiri berangkat ke Mekah untuk menunaikan Haji. Menjelang keberangkatannya, Adam mengirim penjagaan keluarganya kepada langit, tetapi langit menolak. Lalu kepada bumi dan gunung, kedua-duanya juga menolak. Kemudian, Qabil mengatakan bersedia untuk menjaga keluarganya.

Baca: Kisah Nabi Adam: Kewafatan Nabi Adam

Lalu, Qabil dan Habil pun berangkat mempersembahkan korban yang diminta oleh bapanya atas perintah Allah SWT. Sebagai seorang penternak kambing, Habil mempersembahkan kambing yang terbaik dan gemuk. Sementara sebagai seorang petani, Qabil mempersembahkan hasil pertanian yang tidak elok. Kemudian, turunlah api menyambar korban Habil (sebagai tanda korbannya diterima) dan mengabaikan korban yang dipersembahkan oleh Qabil (sebagai tanda korbannya tidak diterima).

Melihat kepada situasi itu, Qabil marah lalu berkata: ‘Aku akan membunuh kamu agar tidak boleh menikahi saudara perempuan kembarku’

Habil menjawab: ‘Sesungguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa.’

Qabil mengancam hendak membunuh saudaranya itu. Pada suatu malam, Habil melangkah dengan perlahan, lalu Adam mengutus saudaranya, Qabil untuk melihat apa yang membuatnya melangkah perlahan-lahan. Ketika dia berangkat, tiba-tiba Habil sudah ada dengannya. Maka Qabil berkata: ‘Allah menerima korbanmu, sedangkan korbanku tidak diterima.’

Habil berkata: ‘Sesungguhnya Allah hanya menerima korban dari orang yang bertakwa.’

Mendengar kata-kata itu, Qabil marah dan memukulnya dengan besi yang ada padanya sehingga meninggal dunia.

Terdapat juga riwayat mengatakan, Qabil membunuh Habil dengan menggunakan batu yang dilempar sehingga mengenai kepala Habil (yang sedang tidur). Riwayat lain juga mengatakan, Qabil mencekik lehernya dengan kuat dan menggigit sebagaimana yang dilakukan binatang buas sehingga Habil mati. Wallahu a’lam.

Tindak balas Habil tatkala diancam dengan pembunuhan oleh Qabil, ia tercatat dalam Surah al Maidah ayat 28, maksudnya: ‘Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepada kamu untuk membunuh kamu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam.’

Baca: Hadis – 10 Kelebihan Surah Lazim Terpilih

Firman Allah SWT, maksudnya: ‘Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak menggali di bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana seharusnya menguburkan mayat saudaranya. Berkata Qabil, ‘Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu lakukan seperti burung gagak ini, lalu aku boleh menguburkan mayat saudaraku ini?’ Kerana itu jadilah dia seorang di antara orang-orang yang menyesal.’ – Surah al Maidah: 31

Sebahagian ulama mengatakan, setelah Qabil membunuh Habil, dia menggendong di belakangnua selama 1 tahun. Sebahagian ulama juga mengatakan bahawa Qabil menggendong selama 100 tahun. Selama itu juga, dia terus menggendong sampai akhirnya Allah mengutuskan 2 ekor burung gagak yang saling bertarung hingga akhirnya salah satu membunuh yang lain. Setelah itu, burung gagak turun ke tanah dan menggali tanah untuk menguburkan burung gagak yang terbunuh.

Akhirnya Qabil melakukan seperti apa yang dilakukan oleh burung gagak tersebut – menggali tanah dan menguburkan Habil.

Imam Abu Ja’far bin Jarir dan Ibnu Ishaq mengatakan bahawa Hawa melahirkan 40 orang anak dengan 20 kali mengandung.

Terdapat juga ulama yang mengatakan Hawa melahirkan 110 kali dan setiap kali bersalin, 2 orang anak (kembar) lelaki dan perempuan. Yang tertua ialah Qabil dan Qalima. Manakala 2 orang anak kembar yang bongsu ialah Abdul Mughits dan Ummul Mughits.

Riwayat Bukhari mencatatkan, ketika Nabi Muhammad SAW bertemu Adam sewaktu dalam perjalanan Mikraj, Adam berkata kepada baginda, maksudnya:

“Selamat datang seorang Nabi yang soleh dan putera yang soleh. Nabi SAW bersabda, ‘Di sebelah kanan Adam terdapat sekumpulan orang, demikian juga di sebelah kirinya. Ketika baginda melihat ke sebelah kanan, dia ketawa, dan ketika melihat sebelah kiri, dia menangis.’ Lalu aku (Rasulullah) bertanya, ‘Hai Jibril, siapakah orang ini?’ Jibril menjawab, ‘Adam, dan mereka yang berada di sebelah kanan dan kirinya itu ialah anak keturunannya. Kumpulan kanan adalah ahli syurga, sedangkan kumpulan kiri ialah ahli neraka. Ketika dia melihat ke kanannya dia ketawa dan ketika melihat ke kiri, dia menangis.’”

Kisah Nabi Adam – Qabil dan Habil Kisah Nabi Adam – Qabil dan Habil 

Kisah Nabi Adam – Hadis Tentang Awal Penciptaan Adam

Kisah Nabi Adam - Hadis Tentang Awal Penciptaan Adam

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: Sesungguhnya Allah menciptakan Adam dari sebuah genggaman yang Dia ambil dari seluruh bumi. Kemudian anak cucu Adam datang menurut kadar tanahnya, di antara mereka ada datang dengan kulit putih, merah, hitam dan kombinasi di antara itu, ada yang buruk, baik, mudah, sedih dan ada yang di antara kesemuanya. – Hadis Riwayat Ahmad.

Daripada Anas ra, katanya Rasulullah SAW pernah bersabda, maksudnya: Ketika Allah menciptakan Adam, Dia meninggalkannya, menurut kehendak-Nya, lalu Iblis mengelilinginya. Ketika Iblis melihatnya berongga, maka ia mengetahui bahawa ia adalah makhluk yang tidak harus dimiliki. – Hadis Riwayat Ahmad.

Daripada Anas ra, katanya Rasulullah SAW pernah bersabda, maksudnya: Setelah Allah meniupkan roh ke dalam  jasad Adam, lalu ketika roh itu sampai di kepalanya, ia pun bersin dan mengucapkan, ‘Alhamdullahi rabbil’alamin (segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam),’ Allah berkata, ‘Yarhamukallahu (semoga Allah merahmati kamu).’ – Hadis Riwayat Ibnu Hibban.

Umar Abdul Aziz berkat: Ketika para malaikat diperintahkan bersujud kepada Adam, maka yang pertama kali bersujud di antara para malaikat itu adalah Israfil. Kemudian Allah mendatanginya dan menuliskan Al-Quran di jidatnya. – Hadis Riwayat Ibnu Asakir.

At Tirmidzi meriwayatkan, dari Abu Hurairah, katanya Rasulullah bersabda, maksudnya:  Sesungguhnya Allah menciptakan Adam dari debu, lalu ia menjadikannya tanah, kemudian membiarkannya hingga, ketika telah menjadi tanah kering seperti tembikar, maka Iblis berjalan melaluinya seraya berkata, ‘Engkau diciptakan untuk suatu urusan yang besar.’

Baca: Koleksi Ayat Sedih – Kecewa, Putus Cinta

Kemudian Allah meniupkan roh (ciptaan)-Nya ke dalamnya. Yang pertama kali dilewati roh itu adalah mata dan batang hidungnya. Lalu ia bersin dan mengucapkan hambadalah. Lalu Allah menyahut, ‘Yarhamukallahu (semoga Allah memberikan rahmat kepadamu).’

Selanjutnya Allah berkata: ‘Wahai Adam, pergilah kepada orang-orang itu dan katakan kepada mereka Assalamu’alaikum. Perhatikan apa yang mereka katanya.’

Lalu Adam mendatangi mereka dan mengucapkan salam kepada mereka, maka mereka menjawab: ‘Wa’alaihilas salamu wa rahmatullahi wa barakatuh (semoga salam sejahtera, rahmat dan berkat-Nya juga melimpahkan kepadamu).’

Kemudian Allah berkata: ‘Wahai Adam, demikian itulah salammu dan salam anak keturunanmu.’

Adam bertanya: ‘Ya Tuhanku, siapa keturunanku?’

Dia menjawab: ‘Pilihlah di antara dua sisi-Ku, wahai Adam.’

Baca: Bergambar – Hadith dan Kata Kata Merendah Diri

Adam berkata: ‘Aku memilih yang berada di sisi kanan Tuhanku. Kedua tangan Tuhanku adalah kanan.’

Kemudian Allah membentangkan tapak tangan-Nya, ternyata semua keturunan Adam berada di tapak tangan Tuhan. Di antara mereka terdapat orang-orang yang mulutnya bercahaya.

Tiba-tiba ada seseorang yang cahayanya sangat mengejutkan Adam, lalu Adam bertanya: ‘Siapakah orang ini?’

Allah menjawab: ‘Dia itu ialah anakmu, Daud.’

Lalu dia bertanya: ‘Berapa lama umur yang telah Engkau tetapkan baginya?’

Dia menjawab: ‘ 40 tahun.’

Adam berkata: ‘Ya Tuhanku, tambahkanlah dari umurku untuknya 40 tahun sehingga menjadi 100 tahun.’

Lalu Allah memperkenankan permintaannya itu, dan mempersaksikan padanya.

Ketika umur Adam berakhir, Allah mengutuskan malaikat maut mendatanginya. Adam berkata, ‘Bukankah umurku masih tertinggal 40 tahun?’

Malaikat berkata kepadanya: ‘Bukankah engkau telah menambahkannya untuk anakmu, Daud?’. Namun Adam menyangkalnya sehingga keturunannya bersikap yang sama, menyangkalnya. Adam lupa dan keturunannya pun juga lupa.’

Kisah Nabi Adam – Hadis Tentang Awal Penciptaan Adam Kisah Nabi Adam – Hadis Tentang Awal Penciptaan Adam

Kisah Nabi Adam: Taubat Adam dan Turun ke Bumi

Kisah Nabi Adam: Taubat Adam dan Turun ke Bumi

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai anak cucu Adam! Janganlah sampai kamu tertipu oleh Iblis sebagaimana halnya dia (Iblis) telah mengeluarkan ibu bapamu dari syurga, dengan menanggalkan pakaian keduanya untuk memperlihatkan aurat keduanya. Sesungguhnya dia dan pengikutnya dapat melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak mampu melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan iblis itu pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman. – Surah al A’raf:27

Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka keduanya memakan dari buah pohon itu, lalu nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun (yang ada di) ysurga, dan derhakalah Adam kepada Tuhan dan sesatlah ia. – Surah Thaha: 121

Dari Ubay bin Ka’ab, Rasulullah SAW pernah bersabda, maksudnya: “Bapa kamu, Adam adalah seperti pokok kurma yang tinggi, dengan panjang 60 hasta berambut lebat yang menutup kesemua aurat. Setelah melakukan kesalahan di syurga nampaklah baginya auratnya. Lalu dia keluar dari syurga, dan bertemu dengan sebatang pokok, pokok itu memegang ubun-ubunnya. Kemudian Tuhan menyeru, ‘Apakah engkau melarikan diri dariKu, wahai Adam?’ Adam menjawab, ‘Tidak, tetapi kerana aku malu dari-Mu, ya Tuhanku, berkenaan apa yang menimpa diriku.’”

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dia (syaitan) memujuk mereka dengan tipu daya. Ketika mereka memakan (buah) pohon itu, tampaklah oleh mereka auratnya, maka mulailah mereka menutupinya dengan daun-daun surga. Tuhan menyeru mereka, “Bukankah Aku telah melarang kamu dari pohon itu dan Aku telah mengatakan bahawa sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?” – Surah Al A’raf: 22

Baca: Hadis – 10 Kelebihan Surah Lazim Terpilih

Firman Allah SWT yang bermaksud: Keduanya berkata, “Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi. – Surah Al A’raf: 23

Pengajaran yang boleh diambil daripada ayat ini ialah, setiap kesalahan itu hendaklah dijadikan sebagai dorongan untuk kembali bangkit memperbaiki diri dalam usaha untuk mendapatkan keredhaan Allah dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: (Allah) berfirman, “Turunlah kamu! Kamu akan saling bermusuhan satu sama lain. Bumi adalah tempat kediaman dan kesenanganmu sampai waktu yang telah ditentukan.” Surah Al A’raf: 24

Ayat ini menceritakan tentang perintah yang ditujukan kepada Adam, Hawa dan Iblis. Ada yang mengatakan perintah ini juga mengenai seekor ular yang ada bersama mereka. Semuanya diperintahkan untuk keluar dari syurga

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dia (Allah) berfirman, “Turunlah kamu berdua dari surga bersama-sama, sebagian kamu menjadi musuh bagi sebagian yang lain. Jika datang kepadamu petunjuk dari-Ku, maka (ketahuilah) barang siapa mengikuti petunjuk-Ku, dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. -Surah Thaha 123

Baca: Koleksi Ucapan Salam & Quotes Pagi

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Ia tinggal di sana selama 60 tahun. Dan menangisi di syurga selama 70 tahun, dan menangis kerana kesalahannya selama 70 tahun, serta menangisi anaknya ketika terbunuh selama 40 tahun.” – Hadis Riwayat Ibnu Asakir.

Hasan Basri dan Ibnu Hatim meriwayatkan: “Adam diturunkan di daerah India, Hawa di Jeddah. Sedangkan iblis di Dastimyan di Basrah, dan Ular di turunkan di Isbahan.

Hakim meriwayatkan di dalam bukunya al-Mustadrak, dari Ibnu Abbas, dia berkata: “Adam tidak tinggal di syurga melainkan selama waktu antara Asar sampai terbenamnya matahari.”

Dari Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang padanya matahari terbit adalah hari jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan, pada hari itu pula dia dimasukkan syurga dan hari itu pula dia dikeluarkan darinya.” – Hadis Riwayat Muslim.

Umar bin Khattab berkata, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: 

Setelah Adam melakukan kesalahan, dia berkata, ‘Ya Tuhanku, aku memohon kepada-Mu dengan hak Muhammad, maka tentu Engkau akan mengampunkaku.’

Allah bertanya: ‘Apakah kamu mengetahui Muhammad, padahal aku belum menciptakannya?’

Adam berkata: ‘Ya Tuhanku, ketika ENgkau telah menciptakan aku dengan tangan-Mu sendiri, dan meniupkan padaku roh-Mu, aku mengangkat kepalaku sehingga aku melihat pada tiang-tiang Arasy tertulis, ‘Laa ilaaha Illallahu Muhammad Rasulullah’ (Tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah). Sehingga aku mengetahui bahawa Engkau tidak akan memperbandingkan nama seseorang dengan nama-Mu, melainkan tentu dia adalah orang yang paling Engkau cintai.’

Allah menjawab, maksudnya: ‘Engkau benar, wahai Adam. Sesungguhnya dia (Muhammad) adalah orang yang paling Aku cintai. Dan jika engkau meminta kepada-Ku dengan haknya, tentu AKu akan mengampunimu. Dan kalau bukan kerana Muhammad, nescaya Aku tidak akan menciptakanmu.’

(Hadis Riwayat Hakim, Baihaqi dan Asakir)