Bertukar Daripada MyKeledek Kepada MNMPlus

Hampir sebulan juga dah ni aku menggunakan MNMPlus sebagai diari / jurnal perjalanan peribadi. Entah kenapa, apa yang difikirkan, aku tetiba terfikir untuk beralih kepada domain baharu.

Jauh disudut hati tak nak, tapi rasa macam ada keperluan kot. Kita kan seorang yang suka akan sesuatu yang sentiasa baharu ahaks.

Lama dah guna domain mykeledek ini. Kini masanya untuk guna domain yang lebih dekat dihati. Gigih mencari apa domain yang sesuai dan melekat.

Target memang nak guna nama sendiri dan dot com. Nama sendiri sudah ada orang guna. Jadinya, guna nama singkatan MNM dan tambah Plus dihadapannya. Yelah, nak mencari domain yang orang tak guna lagi dalam dot com memang agak susah.

Akhirnya, lahirlah MNMPlus dot com ini. Theme pula aku gigih membeli di Envato. Adalah sedikit kesukaran untuk install theme Newspaper by tagDiv ini. Godek sana sini, akhirnya jumpa. Syukur alhamdulillah.

Sebab selama ini aku guna Studiopress. Kali ini, kita guna lain pula. Pelbagaikan produk terasa lebih selamat. Betul tak?

Aku masih lagi akan simpan domain dan hosting mykeledek dot com ini. Sebab dah jadi umpama diari perjalanan since 2012 kalau tak silap. Kita carilah nama lebih komersial sikit.

Konsep lebih kurang sama, tapi aku kecilkan lagi skop. Biar nampak lebih kemas dan senang handle.

Usahawan TEKUN Nasional Digalak Gunakan TEKUNPAY

KOTA KINABALU, 14 April – Usahawan TEKUN Nasional dari negeri Sabah merupakan pengguna teramai yang memuat turun dan membuat bayaran balik dengan menggunakan aplikasi TEKUN PAY.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasioanl, Datuk Baharom Embi berkata, aplikasi mudah alih TEKUN PAY yang dibangunkan oleh TEKUN Nasional telah berjaya mengutip kira-kira RM638,443.07 melibatkan 2,728 transaksi sejak ia didaftarkan di Google Play dan App Store sejak Julai tahun lalu.

“Daripada jumlah tersebut, usahawan TEKUN Nasional dari negeri Sabah adalah yang teramai memuat turun aplikasi TEKUN PAY iaitu seramai 495 orang dengan jumlah transaksi bayaran balik sebanyak RM118,951.72, diikuti negeri Johor (384) dengan jumlah transaksi RM83,381.38 dan Selangor (234) dengan jumlah transaksi RM52,372.55,” katanya.

Bagi memastikan pembiayaan yang disalurkan kepada usahawan dapat dikutip semula, TEKUN Nasional telah mengambil inisiatif menyahut cabaran menuju ke era digital dengan menyediakan aplikasi mudah alih TEKUN PAY yang lebih relevan tanpa tunai, tanpa kertas dan lebih sistematik untuk kemudahan usahawan.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Perasmian Seminar Asas Keusahawanan Negeri Sabah oleh Datuk Seri Panglima Hajiji Bin Haji Mohd Nor, Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Negeri Sabah di sini hari ini.

Kerajaan melalui TEKUN Nasional telah menyalurkan dana pembiayaan perniagaan bagi membantu golongan peniaga kecil untuk memula dan mempertingkatkan perniagaan sedia ada. Sejak diwujudkan pada tahun 1998, TEKUN Nasional telah memberi pembiayaan perniagaan kepada 405,513 orang usahawan, dengan bilangan pinjaman sebanyak 530,859 yang bernilai RM 5.06 billion di seluruh negara.

“Usahawan boleh menggunakan aplikasi ini untuk menyemak maklumat akaun pembiayaan & membuat bayaran balik pembiayaan secara dalam talian (online) ianya lebih praktikal dan mudah. Melalui aplikasi ini juga usahawan TEKUN Nasional boleh membuat bayaran menggunakan internet banking melalui bank yang menggunakan Financial Process Exchange ( FPX ),” katanya.


Sementara itu, katanya, seramai 500 usahawan sekitar Kota Kinabalu hadir ke seminar itu bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai TEKUN Nasional.

Menurutnya, sejak penubuhan hingga Mac lalu, 703 siri Seminar Asas Keusahawanan TEKUN Nasional dilaksanakan membabitkan seramai 178,289 usahawan di seluruh negara.

“Inisiatif ini selari dengan hasrat dan matlamat penubuhan TEKUN Nasional dalam menyediakan pembiayaan mikro serta perkhidmatan sokongan pembangunan keusahawanan.

“Melalui inisiatif ini, ia dapat membantu usahawan meningkatkan perniagaan, pendapatan dan seterusnya taraf ekonomi mereka,” katanya.

Usahawan Keropok Lekor dan Satar TEKUN Nasional

Hanya berbekalkan modal RM40, seorang pengusaha keropok dan sata ikan berasal dari Kuala Kemaman kini mampu meraih pulangan sehingga RM18,000 sebulan daripada perniagaan yang diusahakan lebih 20 tahun lalu hasil bantuan TEKUN Nasional.

Rohani Awang Mat, 51, berkata tidak mudah cabaran yang dilalui olehnya dan suami Pazli Muda, 56, apatah lagi mereka pada mulanya terpaksa bermula dari kosong ekoran tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pembuatan keropok atau produk hiliran lain dari ikan seperti sata.

“Saya terpaksa berhenti kerja sebagai kerani di sebuah syarikat kereta terpakai kerana menjaga ibu yang sakit ketika itu…selepas setahun saya menjaga ibu, kami menghadapi masalah kewangan ekoran suami ketika itu hanya bekerja sebagai Pembantu Am Rendah di Intan (Institut Tadbir Awam Negara) Wilayah Timur, di sini.

“Dari situ saya mencari jalan menjalankan perniagaan keropok dengan mengupah dua orang pekerja menerusi pinjaman dengan TEKUN Nasional sebanyak RM7,000… dalam erti kata lain saya ketika itu adalah seorang taukeh keropok.

“Tetapi selepas beberapa ketika saya merasakan tidak berbaloi mengupah orang kerana untung yang sedikit…dari situ saya mula berbincang dengan suami dan akhirnya mengusahakan sendiri pembuatan keropok yang dipelajari daripada ibu saya sendiri hingga hari ini,” katanya yang mesra dipanggil Kak Ani.

Kak Ani ditemui Bernama pada Karnival Usahawanita 2018 di Pantai Kuala Kertih di sini hari ini.

Beliau antara usawanita yang dibantu oleh pihak TEKUN Nasional bagi menjalankan dan mengembangkan perniagaan masing-masing menerusi pinjaman yang diberikan.

Mengimbas kembali cabaran memulakan perniagaan sata dan keropoknya, Kak Ani berkata perniagaanya bermula di ruang rumah mereka seluas 10 kaki persegi di Kuala Terengganu sebelum berpindah ke sebuah rumah yang lebih besar di Kuala Kemaman berharga RM10,000 pada tahun 1999.

“Demi membeli rumah itu saya tahan nafsu saya untuk membeli belah dan duit simpanan dari untung berniaga itu saya tambah pinjaman TEKUN bagi membuat pengubahsuaian rumah tersebut.

“Alhamdulillah perniagaan kini semakin berkembang dengan peningkatan produk jualan termasuk sos keropok keping dan satar gulung (goreng) . Saya juga kini mempunyai 18 pekerja yang terdiri daripada penduduk tempatan.

“Terima kasih kepada TEKUN Nasional kerana selama ini tidak pernah berhenti membantu perniagaan Kak Ani hingga berjaya ke tahap ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi usahawanita, Wan Latifah Wan Ismail, 36, yang menghasilkan isi ikan untuk sata dan sata sejuk beku berkata dengan bantuan TEKUN Nasional, perniagaanya kini dapat dikembangkan ke seluruh negara.

“Saya dan suami, Mohamadon Sukaini, memulakan perniagaan Serasa Asli Enterprise pada tahun 2016 dengan pinjaman berjumlah RM15,000 yang menghasilkan isi sata bagi pasaran tempatan.

“Selepas beberapa tahun perniagaan kami berjaya dikembangkan ke negeri-negeri lain dengan penghantaran menerusi bas ekpress ke Perak, Johor, Kedah dan Kuala Lumpur dan kini anggaran keuntungan boleh mencecah hingga RM25,000” katanya.

Katanya, isi sata yang dihasilkan menggunakan 100 peratus ikan parang, kelapa muda dan 13 bahan-bahan lain mengikut resipi turun temurun milik keluarganya.

“Selain saya beruntung kerana anak-anak saya seramai tiga orang berumur 19 hingga 21 tahun yang membantu menguruskan perniagaan, pinjaman daripada pihak TEKUN Nasional juga tidak dinafikan banyak mengubah ekonomi keluarga kami.

“Jika dahulu ibu dan ayah hanya menjalankan perniagaan keropok keping tapi dengan bantuan TEKUN Nasional produk keluaran syarikat kami dapat dirasai bukan sahaja penduduk tempatan malah seluruh rakyat Malaysia kini,” katanya.— BERNAMA

–BERNAMA

Sumber: http://www.bernama.com/en/news.php?id=1452171

Aplikasi TEKUNPAY Pilihan Usahawan TEKUN Nasional

Aplikasi mudah alih TEKUNPAY yang diwujudkan TEKUN Nasional setakat ini berjaya mengutip kira-kira RM638,443.07 daripada  2,728 jumlah transaksi sejak ia berfungsi secara ‘online’ Julai tahun lalu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Baharom Embi berkata meskipun jumlah itu dilihat agak perlahan iaitu kira-kira dua peratus daripada jumlah usahawan di seluruh negara,  namun pihaknya optimis lebih ramai usahawan TEKUN Nasional akan menggunakan aplikasi tersebut tidak lama lagi.

“Kalau boleh kita mahu semua daripada usahawan TEKUN menggunakan aplikasi berkenaan kerana ia bukan sahaja memudahkan usahawan membayar pinjaman mereka, ia turut membantu usahawan menyemak baki pinjaman serta bayaran pinjaman yang dikreditkn pihak TEKUN Nasional ke dalam akaun bank mereka dengan mudah dan cepat.

“Pihak TEKUN Nasional juga akan menerima bayaran balik dengan kadar segera dan akan lebih ramai usahawan yang akan mendapat manfaat jika lebih banyak jumlah bayaran balik yang kita terima menerusi aplikasi ini,” katanya

Beliau ditermui oleh Bernama selepas majlis Kempen Jom Daftar TEKUNPAY yang telah disempurnakan oleh Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Penasihat Pembangunan Keusahawanan Dan Ikhtisas Wanita Di Jabatan Perdana Menteri  Bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sempena Karnival Usahawanita 2018 dan ROAD TO MAHA 2018 di Pantai Kuala Kertih di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, bermula Januari tahun ini, usahawan TEKUN Nasional dari negeri Sabah adalah yang teramai memuat turun aplikasi berkenaan iaitu seramai 495 orang dengan jumlah transaksi (bayaran balik) sebanyak RM118,951.72, diikuti negeri Johor (384) dengan jumlah transaksi RM83,381.38 dan Selangor (234) dengan jumlah transaksi RM52,372.55.

TEKUNPAY yang dilancarkan  oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada Feb lalu merupakan satu lagi inisiatif TEKUN Nasional meningkatkan kadar bayaran balik pembiayaan para usahawannya.

Pengenalan aplikasi itu juga katanya seiring dengan perkembangan teknologi di mana hampir kebanyakan rakyat negara ini  mempunyai telefon pintar dan akses Internet untuk mereka memuat turun aplikasi tersebut.

“Ibaratnya kini kita ingin mewujudkan satu sistem di mana perbankan di hujung jari…para usahawan juga termasuk makcik-makcik di kampung pun boleh membuat sendiri semakan rekod bayaran, jumlah tunggakan dan baki pembiayaan  mereka,” katanya.

“Warga kerja TEKUN Nasional juga kini giat turun padang bagi meneruskan kempen kesedaran kepada para usahawan TEKUN Nasional agar mereka mendapat pendedahan mengenai aplikasi ini yang sangat memudahkan dan menjimatkan masa dan kewangan mereka.

“Seperti kita tahu usahawan TEKUN Nasional juga ramai terdiri dari kalangan penduduk di kawasan pedalaman…jadi kini mereka tidak perlu lagi keluar ke bandar setiap bulan atau minggu hanya sekadar untuk membayar pinjaman,” katanya.

 

Mengundi di DUN Sri Medan dan Parlimen Parit Sulong

Yeah, akhirnya tarikh-tarikh penting untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sudah kita ketahui.

Ini adalah kali kedua aku mengundi. Sepatutnya kali ketiga tapi pada awal usia 20an aku masih lagi bergelar pelajar. Nak balik mengundi mana ada duit. Tak kenal pun ahli parlimen / ahli dewan undangan negeri (ADUN) sedia ada dan yang bertanding pada ketika itu haha. Agaknya sebab kawasan tempat aku mengundi adalah ‘putih’ kot. Kawasan selamat. Letak siapa sahaja, insyaallah biru jua ahaks.

Untuk PRU ke-14 ini, aku masih setia lagi dengan DUN Sri Medan dan Parlimen Parit Sulong. Adun Sri Medan ialah YB Dato’ Zulkurnain Kamisan dan Ahli Parlimen Parit Sulong ialah YB Dato’ Dr. Noraini binti Ahmad.

YB Noraini Ahmad ini gigih bekerja. Tengok je lah facebook dia, sana sini kehulu hilir perginya. Pernah menjadi menjadi Ketua Puteri UMNO dan Timb Menteri Sumber Manusia dulu. Not sure kenapa tidak lagi jadi Timb Menteri atau Menteri dimana-mana kementerian zaman Pak Najib.

Sumber: Malaysia Access

Sekarang ini, jadi Pengerusi MATRADE. Banyak juga tengok aktiviti-aktiviti berkaitan MATRADE yang YB Noraini ini bawa ke Parlimen Parit Sulong. Secara peribadi pun pernah jumpa dan dengar dia bercakap. Banyak kali juga tengok dia berbahas di Parlimen. Sangat ilmiah dan berfakta. Jadi, kalau dia bertanding lagi pun aku pasti akan mengundi YB Noraini Ahmad. Sebab dia Ahli Parlimen yang nampak buat kerja.

Sumber: YouTube

YB Dato’ Zulkurnain Kamisan aku tak kenal mana. Sebab aku jarang balik Sri Medan. YB Zulkurnain Kamisan ini pun merupakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor. ADUN sebelum ini pun berjawatan yang sama. Agaknya memang allocation nya macam itu kot. Ada juga dengar suara-suara dari kawan-kawan yang kata tidak berpuas hati dengan dia nie. Entah, aku pun tidak faham mana apa yang tak puas hatinya. Malas nak masuk campur. Nampak banyak juga post-post update di Facebook dan berita mengenai YB nie.

Apa yang aku tahu, banyak dah pembangunan dan perubahan yang aku nampak dalam masa 5 tahun ini. Jalan dah berturap, sokmo nampak program anjuran kerajaan disana sini. Jadi, apa lagi yang kita mahukan. Penyandang sedia ada perform, kalau mereka bertanding lagi, kita undi lagilah mereka. Tiada keperluan untuk tukar yang lain.

Sekadar pandangan peribadi.

Sumber: Orang Johor