ISRAK DAN MIKRAJ – 27 REJAB

Bulan Rejab merupakan bulan Allah yang banyak keistimewaannya yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada umat-Nya. Pintu rahmat terbuka luas untuk bertaubat dan memohon ampun di atas dosa-dosa yang lepas yang perlu dikerjakan dengan sifat ikhlas, rendah diri dan tawwaduk agar ganjaran yang akan diperolehi itu ada keberkatannya.

Aku sendiri kurang pasti macam mana nak define malam 27 Rejab itu. Adakah pada malam hari 26 Rejab atau malam pada hari 27 Rejab. Konfius kat situ sokmo. Nasib baik housemate aku balik lewat semalam. So, boleh lah baca yassin +++ sekejap lepas solat Maghrib tu. Tanpa disengajakan kene pulak dengan peristiwa Israk Mikraj. Syukurlah nak.

Beramallah bersungguh-sungguh dengan berjaga sepanjang malam bagi melakukan ibadah solat-solat sunat, beristighfar, bertahmid, berzikir, bertasbih, berselawat dan berdoa. Bersahurlah sebagai persediaan puasa pada siangnya dan amal ibadat yang lain.

Amalan Malam Rejab

  • Solat Sunat Tahajjud 2, 8 atau 12 rakaat.
  • Solat Sunat Tasbih,
  • Solat Sunat Taubat,
  • Solat Sunat Witir.
  • Beristighfar 70 kali, 100 kali atau lebih..
  • Berdoa.
  • Memohon keampunan diri dan ibu bapa.
  • Berselawat, berzikir dan bertasbih sehingga fajar subuh.

Banyak lagi ganjaran yang Allah beri jika umat Islam beribadat sepanjang Rejab. Berpuasa sunat adalah antaranya. Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah seperti puasa seribu tahun, kerana kebesaran hari Israk-Mikraj.

Sayyidatina Aishah berkata bahawa Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: “Semua manusia dalam kelaparan pada hari kiamat kecuali nabi-nabi dan keluarga mereka juga orang yang berpuasa pada Rejab, Syaaban dan Ramadan. Mereka tetap kenyang tanpa berasa lapar dan tidak pula haus.”

Beberapa peristiwa penting telah berlaku dalam bulan Rejab, antaranya:

  • Peristiwa Israk dan Mikraj (27 Rejab)
  • Malaikat Jibril melakukan pembedahan ke atas dada Rasulullah SAW.
  • Diperlihatkan keadaan syurga dan neraka melalui Rasulullah SAW.
  • Nabi Muhammad SAW bertemu dengan Rasul-Rasul terdahulu.
  • Solat lima waktu difardukan ke atas umat Islam (malam Israk Mikraj)

Peristiwa Israk dan Mikraj ke atas Nabi Muhammad SAW. adalah perkara besar yang berlaku dalam bulan ini. Baginda telah di‘Israk’kan (dibawa berjalan) dengan menggunakan `Buraq’, dari Masjidil Haram di Kota Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmuqaddis, Palestin serta di‘Mikraj’kan (dibawa naik ke atas) ke Sidratul Muntahauntuk mengadap Allah SWT. Di mana dengan izin-Nya, Solat 5 waktu telah difardukan ke atas umat Islam melalui Rasulullah SAW.

Menurut ulama, peristiwa Israk dan Mikraj Nabi itu ialah roh dan jasadnya sekali. Bukannya roh saja atau mimpi. Peristiwa agung itu berlaku setahun sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah iaitu bersamaan dengan tahun 721 masihi ketika Baginda dan sahabat berada dalam tekanan kuat daripada golongan musyrikin Makkah seperti Abu Jahal dan Abu Lahab.

Iktibar Daripada Kisah Israk Dan Mikraj

Kalau nak diikutkan, banyak je iktibar dan peristiwa yang boleh dipelajari daripada peristiwa Israk dan Mikraj ini. Aku sendiri masih lagi mencari cari info dan rahsia disebalik peristiwa ini via sumber sumber tertentu (secara sengaja atau tidak sengaja).

Peristiwa Israk Mikraj perlu dijadikan iktibar bagi seluruh umat Islam yang menggambarkan betapa pentingnya proses tarbiah (pendidikan) jiwa ke arah kesempurnaan. Israk Mikraj turut membuktikan kehebatan dan kekuasaan Allah. Bukti paling nyata Dia berkuasa ‘membenarkan’ Rasulullah diangkat ke langit untuk bertemu-Nya dalam masa yang singkat.

Ketika diisrakkan pada malam itu, Rasulullah SAW terlebih dulu menjalani pembedahan dada yang dilakukan Malaikat Jibril dengan mengeluarkan segala kotoran, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-was. Diisi dengan iman dan hikmah, kemudian dibersihkan hati baginda dengan air zamzam dan dicantumkan semula.

Selesai pembedahan, bermulalah perjalanan luar biasa Nabi (Israk) dengan menunggang binatang yang bernama Buraq. Ketika perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa itu, Rasulullah diiringi malaikat Jibril dan Israfil.

Apabila tiba di tempat tertentu iaitu tempat yang mulia dan bersejarah, malaikat Jibril mengarahkan Rasulullah bersolat dua rakaat. Antara tempat berkenaan adalah Thaibah (Madinah), tempat Rasulullah melakukan hijrah, Bukit Tursina dan Baitul Laham iaitu tempat Nabi Isa dilahirkan.

Setibanya Rasulullah SAW di Masjidil Aqsa, Baitulmaqdis, Rasulullah SAW mengerjakan solat sebelum Jibril menghidangkan dua jenis minuman kepada baginda. Lantas baginda memilih susu.

Jibril berkata: “Benar, engkau telah memilih air susu adalah lambang kesucian dan seandainya engkau mengambil minuman keras nescaya akan tersesatlah engkau dan umat engkau.”

Dalam peristiwa Mikraj pula, baginda naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan melalui tujuh lapis langit.

Beberapa tanda kebesaran diperlihatkan kepada Rasulullah SAW ketika Israk, antaranya ialah baginda melihat orang yang sedang memotong padi dan selepas tiap potongan, pokok padi itu tumbuh lagi dan demikian seterusnya tanpa henti.

Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril: “Siapakah gerangan itu?” Jibril menjawab: “Itulah contohnya umatmu yang suka bersedekah, maka harta yang disedekahkah itu tidak hilang bahkan kian bertambah di sisi Tuhan yang diterima oleh umatmu yang rajin beramal di kemudian hari dengan berlipat ganda.”

Rasulullah SAW turut melihat orang yang memukul kepala dengan besi. Selepas pecah kepala, ia bercantum semula. Kemudian, dipukul lagi dan pecah semula, begitulah seterusnya berulang kali.

Selepas Rasulullah SAW bertanya, Jibril pun menjawab: “Inilah orang yang malas dan enggan mengerjakan solat, kepalanya tidak mahu sujud kepada Allah maka di kemudian hari, dia akan merasakan sendiri kemalasannya itu.”

Ketika Mikraj pula, Rasulullah SAW menempuh perjalanan melalui tujuh lapisan langit, malah ke tempat lebih tinggi dari langit ketujuh itu. Di tempat mulia itulah, Allah SWT menyampaikan perintah mulia untuk baginda dan umatnya, iaitu mengerjakan solat. Nabi mendapat perintah solat secara langsung daripada Allah tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril.

Pada mulanya, perintah solat wajib itu menghendaki ia dilaksanakan 50 kali sehari semalam tetapi selepas Rasulullah SAW bersoal jawab dengan Nabi Musa as, akhirnya Baginda mendapat keringanan Allah SWT untuk mengerjakan solat fardu daripada 50 kali sehari menjadi lima kali sehari semalam, namun dalam penilaian sebenar, Allah tetap memberi 50 ganjaran pahala.

Rasulullah SAW bersabda: “(Selain daripada apa yang aku saksikan ketika aku dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah fardukan (atasku) dan atas umatku lima puluh solat, lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan solat itu yang sudah pun dikurangkan hingga tinggal lima saja); maka Allah berfirman yang bermaksud: “Solat fardu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti.” (Hadis riwayat Bukhari).

Solat adalah amalan yang paling awal dihitung di akhirat kelak. Justeru, ia menunjukkan solat memiliki kelebihan berbanding ibadat lain.

Selepas perintah solat itu, Nabi kembali turun ke langit dunia seterusnya ke Baitul Maqdis dengan menunggang Buraq dan pulang pada malam yang sama ke Makkah sebelum waktu Subuh. Kecepatan Buraq membolehkan Rasulullah SAW pergi antara dua tempat hanya dengan sekelip mata.

Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Aku didatangi buraq. Iaitu seekor binatang yang putih rupanya, panjang (tinggi) lebih besar daripada keldai, tetapi lebih kecil daripada baghal. Ia merendahkan tubuhnya hinggalah perut buraq mencecah bumi.” Baginda SAW bersabda lagi: “Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya, ia melangkah kakinya cepatnya sejauh penghabisan mata memandang hinggalah sampai ke Baitul Maqdis.”

Begitulah perjalanan dari Makkah ke Palestin, kemudian naik ke langit dan lebih tinggi dari itu sebelum menerima perintah solat.

Diikuti pula pertemuan dengan Rasul terutama bersoal jawab dengan Nabi Musa as, menyaksikan keanehan Sidratul-Muntaha, melihat keindahan syurga. Dalam ‘pengembaraan luar biasa’ itu, Rasulullah SAW menyaksikan banyak perkara dahsyat terutama balasan dan seksaan yang diterima manusia kerana melakukan kemungkaran di dunia.dan sebagainya, terus kembali ke alam dunia hingga ke Makkah dengan perjalanan yang singkat.

Peristiwa ini berlaku ketika Nabi berada di puncak kesedihan yang memerlukan sokongan dalaman. Tahun itu dikenali sebagai ‘Aam al Huzni’ (tahun berduka cita).

Berdasarkan catatan sejarah, Nabi Muhammad menghadapi dua musibah iaitu kehilangan dua insan yang amat berjasa dan sangat baginda kasihi iaitu wafatnya isteri tercinta, Siti Khadijah serta bapa saudaranya Abu Talib.

Sesungguhnya, mukjizat Israk dan Mikraj memperlihatkan kekuasaan Allah SWT. Segala peristiwa tercatat seharusnya lebih menguatkan keimanan dan keyakinan manusia terhadap Allah SWT.

Peristiwa ini membawa misi penting iaitu bermulalah kewajipan melaksanakan perintah menunaikan solat dan pengajaran yang dapat diambil daripada peristiwa Israk Mikraj ialah seluruh umat Islam bertanggungjawab membebaskan dan memelihara kesucian Masjid al-Aqsa yang menjadi lambang kebesaran serta tempat suci bagi umat Islam daripada cengkaman Yahudi. Justeru, mereka perlu berkorban menerbitkan keyakinan manusia terhadap kekuasaan Allah SWT dan kebenaran kenabian Muhammad SAW.

Published by

Dennis Zill

Freelance Blogger - Gemar mengambil gambar (masih lagi belajar teknik yang betul) - Suka Jalan-jalan & Traveling untuk mencari pengalaman baru - Pencinta kucing yang tegar. Kenali Dennis Gill lebih lanjut di SINI