Niat dan Cara Mudah Mandi Wajib Mengikut Hadis

Seorang Muslim perlu mengetahui cara untuk melakukan mandi junub / mandi wajib / mandi hadas besar. Ini bagi memastikan diri dalam keadaan suci dan bersih daripada hadas, bagi membolehkan amal ibadah yang dilakukan diterima oleh Allah swt.

Jimak yang diwajibkan mandi ialah sekurang-kurangnya terbenam zakar lelaki ke dalam faraj wanita atau duburnya (Walaupun tidak keluar air mani atau air mazi).

Namun, jika sekadar keluar air mazi tanpa melakukan persetubuhan, tidak perlu mandi wajib. Ini berdasarkan kepada dalil yang diriwayatkan oleh Saidina Ali ra, maksudnya:

"Saya merupakan seorang lelaki yang sering keluar air mazi. Lantas, saya meminta al-Miqdad bin Aswad untuk bertanya kepada Nabi . Maka, Baginda bersabda, 'Padanya mestilah berwuduk.' - Hadis Riwayat al-Bukhari
Niat dan Cara Mudah Mandi Wajib Mengikut Hadis

Niat Mandi Wajib

Niat merupakan salah satu rukun mandi wajib. Tidak sah mandi tersebut sekiranya tidak disertai dengan niat. Niat tersebut boleh dibaca dalam hati dengan menggunakan bahasa arab atau bahasa melayu.

Lafaz niat mandi wajib ialah seperti berikut:

Sahaja aku mengangkat hadas besar dari seluruh tubuhku semata-mata kerana Allah.”

Cara untuk melakukan mandi junub:

  1. Mulakan dengan membersihkan kemaluan iaitu qubul dan dubur terlebih dahulu. Pastikan bahagian dalam kemaluan (perempuan) juga telah dibersihkan.
  2. Kemudian, ambil wuduk dengan sempurna. Hukum mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum melakukan mandi hadas besar (janabah) adalan sunat sebagaimana yang disunnahkan oleh Nabi Muhammad saw.
  3. Selepas itu, mulakan dengan memasang niat mengangkat hadas besar dalam hati dituruti dengan mengalirkan air pada bahagian kanan tubuh diikuti bahagian kiri.
  4. Seterusnya, curahkan air ke seluruh anggota badan.
  5. Akhirinya dengan membasuh kedua-dua belah kaki hingga buku lali.

Nota: Pastikan air dialirkan juga pada seluruh bahagian anggota badan termasuk yang berambut, berbulu, celah-celah pelipat dan tapak kaki.

Terus Tidur Selepas Berjimak

Melewatkan atau menangguhkan mandi wajib kepada waktu lain, hukumnya adalah harus. Ini berdasarkan kepada dalil oleh Abdullah bin Qayyis, beliau bertanya kepada Sayidatina Aisyah ra tentang Nabi, maksudnya:

"Saya bertanya kepada Sayidatina Aisyah tentang Witir Rasulullah, 'Apakah yang dilakukan oleh Baginda semasa berjunub? Apakah Baginda mandi dahulu kemudian tidur semula, ataupun Baginda tidur sebelum mandi?' Sayidatina Aisyah menjawab, 'Kedua-duanya sekali, terkadang Baginda mandi terlebih dahulu, terkadang pula Baginda tidur kemudian mandi.' Saya berkata, 'Syukur kepada Allah yang telah memberi keringanan dalam perkara ini." - Hadis Riwayat Muslim.

Disamping itu, Hukum mengambil wuduk selepas melakukan hubungan seksual adalah sunat munakahad. Ini berdasarkan kepada dalil yang mana, Nabi Muhammad saw telah ditanya tentang hukum tidur dalam keadaan junub. Baginda membenarkan dengan bersabda,

Maksudnya: “Berwuduklah dan basuhlah kemaluan kamu, kemudian tidurlah.”

Riwayat al-Bukhari

Dengan kata lain, cara yang paling mudah ialah cukup sekadar membersihkan kemaluan, kemudian mengambil wuduk secara sempurna. Dalam hadis daripada Sayidatina Aisyah ra, beliau berkata,

Maksudnya: "Jika Nabi ingin tidur dalam keadaan berjunub, maka Baginda akan membasuh kemaluan Baginda, kemudian berwuduk secara sempurna seperti mahu bersolat." - Hadis Riwayat Bukhari

Published by

Dennis Zill

Freelance Blogger - Gemar mengambil gambar (masih lagi belajar teknik yang betul) - Suka Jalan-jalan & Traveling untuk mencari pengalaman baru - Pencinta kucing yang tegar. Kenali Dennis Gill lebih lanjut di SINI