Syarat Sah dan Rukun Khutbah Jumaat

Syarat Sah dan Rukun Khutbah Jumaat

Hukum Solat Jumaat adalah fardhu ain bagi setiap muslim yang mukallaf, lelaki, merdeka, sihat bermukim (bertempat dalam satu negeri) dan tiada keuzuran (halangan) seperti sakit, hujan dan musafir.

Solat Jumaat didirikan sebanyak 2 rakaat secara berjemaah dan didahului dengan 2 khutbah.

Syarat Khutbah

  1. Isi rukun kedua-dua khutbah dapat didengari oleh para ahli jumaat iaitu sekurang-kurangnya 40 orang ahli jumaat yang memenuhi syarat wajib jumaat.
  2. Berturut-turut antara khutbah pertama dengan khutbah kedua dan antara dua khubat dan solat jumaat.
  3. Menutup aurat
  4. Khatib berada dalam keadaan suci daripada hadas dan najis termasuk badan, pakaian dan tempatnya.
  5. Khatib adalah seorang lelaki
  6. Khatib hendaklah membaca rukun-rukun khutbah dalam bahasa arab
  7. Dilakukan pada waktu zuhor.
  8. Khatib hendaklah berdiri sekiranya mampu. Kedua-dua khutbah diselangi dengan duduk

Daripada Ibn Umar telah berkata, maksudnya: Bahawa (pada masa dahulu) Nabi Muhammad saw berkhutbah pada hari Jumaat sebanyak 2 kali khutbah. diselangi dengan Baginda duduk sebentar antara 2 khutbah tersebut.

Hadis Riwayat Ahmad

Baca: 3 DPO: Tanda Tanda Orang Hamil 3 Hari

Syarat Sah Khutbah

  1. Khutbah yang dilakukan hendaklah ditujukan kepada 40 orang ahli jemaah.
  2. Khatib hendaklah berdiri (sekiranya berkemampuan)
  3. Khatib hendaklah duduk selepas khutbah pertama
  4. Khatib hendaklah suci daripada hadas kecil dan besar
  5. Khatib hendaklah menutup aurat
  6. Khutbah hendaklah dibaca berturut-turut tanpa diselangi oleh masa yang lama tanpa sebab. Selang masa yang pendek seperti khatib perlu berwuduk semula atau hendak ke tandas, adalah dimaafkan.

Rukun Khutbah

  1. Memuji Allah atau bertahmid dengan menggunakan lafaz sekurang-kurangnya membaca ‘Alhamdulillahirobbilalamin’ (Segala pujian untuk Allah, Tuhan sekalian alam) dalam dua khutbah
  2. Membaca selawat ke atas Nabi Muhammad saw dalam dua khutbah
  3. Berpesan kepada para jemaah agar bertakwa kepada Allah dalam dua khutbah – Sekurang-kurangnya ‘Ittakullah’ (Bertakwalah kepada Allah)
  4. Membaca ayat al-Quran dalam salah satu daripada dua khutbah. Lebih afdal jika dibaca pada khutbah pertama, seperti mana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw
  5. Memohon keampunan bagi sekalian mukminin pada khutbah kedua

Hukum Bercakap Ketika Khutbah Jumaat

Berkata-kata ketika imam berkhutbah tidak membatalkan solat Jumaat tetapi tidak mendapat pahala. Mazhab Syafie berpandangan hukumnya MAKRUH untuk mereka yang berkata-kata ketika khatib sedang berkhutbah Jumaat.Manakala Mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali mengatakan HARAM berkata-kata ketika khatib sedang berkhutbah Jumaat.

Daripada Abu Hurairah ra berkata, Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Jika kamu berkata kepada kawanmu, diam pada hari Jumaat dan khatib sedang membaca khutbah, maka tiada pahala Jumaat baginya.”

Hadis Riwayat Nailul Authar

Dari Abu Hurairah ra, Nabi Muhamamd berkata, maksudnya: “Jika kamu berkata kepada sahabat kamu “Diam”, semasa Imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat, maka kamu telah berkata yang lagha (berkata perkara yang sia-sia)”.

Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Sekalipun begitu sebaiknya adalah tidak bercakap untuk keluar daripada khilaf ulama yang mengharamkan perbuatan bercakap ketika khutbah.

Daripada Abu Hurairah ra, Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Jika engkau berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat, “Senyap!” sedangkan imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya telah sia-sia.”

Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Published by

Dennis Zill

Freelance Blogger - Gemar mengambil gambar (masih lagi belajar teknik yang betul) - Suka Jalan-jalan & Traveling untuk mencari pengalaman baru - Pencinta kucing yang tegar. Kenali Dennis Gill lebih lanjut di SINI