Negara Bakal Kekurangan 1 juta Unit Rumah Mampu Milik Pada Tahun 2020

Laporan Tahunan 2016 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia menyatakan negara bakal menghadapi masalah kekurangan rumah mampu milik  sebanyak 1 juta unit menjelang tahun 2020. Walaupun terdapat pelbagai program dan projek yang disediakan oleh sektor swasta dan kerajaan, namun jumlah unit yang dibina pada masa kini masih tidak mampu menampung permintaan pasaran.

Mengikut laporan, pada tahun 2014, negara menghadapi kekurangan bekalan rumah mampu milik berjumlah 960,000 unit.

rumah mampu milik

Kesan kekurangan bekalan rumah terhadap kemampuan diburukkan lagi oleh kadar peningkatan pendapatan isi rumah yang tidak seimbang dengan kadar kenaikan harga rumah. Keadaan ini diburukkan lagi dengan trend semasa harga rumah yang berharga melebihi RM250,000 seunit.

Pada masa yang sama, terdapat bekalan berlebihan bagi rumah mewah yang di luar kemampuan isi rumah. Sebahagian besar kediaman dalam kategori ini tidak dapat dijual.

Pemaju kelihatannya lebih teruja membina pusat membeli belah demi mengaut keuntungan berbanding menyediakan rumah mampu milik. Perkara ini dpaat dilihat apabila kurang daripada 30 peratus pelancaran projek rumah baharu pada tahun 2016 adalah daripada rumaah mampu milik yang berharga di bawah RM250,000. Manakala 36 peratus pula bagi RM500,000 ke bawah.

Dari segi pasaran hartanah pula, terdapat tiga sektor yang menjadi tumpuan iaitu rumah kediaman bertingkat, bangunan pejabat dan terlalu banyak pusat beli belah di Malaysia.

BNM menolak persepsi kurangnya pembiayaan dan menyatakan pada akhir tahun 2016, kira-kira 56 peratus daripada pinjaman terkumpul adalah dari rumah berharga bawah RM250,000 seunit. Manakala 25 peratus pula datang daripada rumah berharga antara RM250,000 hingga RM500,000.

Pada tahun 2016 juga, peratusan permohonan pinjaman yang ditolak hanyalah pada kadar 23.6 peratus sahaja.

Dengan kata lain, isu perumahan mampu milik ini lebih kerapda masalah permintaan dan penawaran yang memerlukan perhatian pihak pembuat dasar dan bukannya masalah akses kepada pembiayaan.

Mungkin, penubuhan agensi tunggal untuk menyelaraskan penyediaan rumah mampu milik boleh mengatasi masalah kekurangan bekalan rumah mampu milik di negara ini pada masa hadapan.

Pada masa yang sama, langkah ini juga perlu dilengkapkan dengan skim pembiayaan yang lebih inovatif untuk membiayai pembelian rumah mampu milik.

Difahamkan harga hartanah dan kos infrastruktur sahaja merangkumi separuh daripada kos rumah. Perkara ini perlu dikurangkan jika kita mahu menyelesaikan isu rumah mampu milik ini.

Sumber: Kosmo, BHarian, Utusan