Usahawan TEKUN Nasional Digalak Gunakan TEKUNPAY

KOTA KINABALU, 14 April – Usahawan TEKUN Nasional dari negeri Sabah merupakan pengguna teramai yang memuat turun dan membuat bayaran balik dengan menggunakan aplikasi TEKUN PAY.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasioanl, Datuk Baharom Embi berkata, aplikasi mudah alih TEKUN PAY yang dibangunkan oleh TEKUN Nasional telah berjaya mengutip kira-kira RM638,443.07 melibatkan 2,728 transaksi sejak ia didaftarkan di Google Play dan App Store sejak Julai tahun lalu.

“Daripada jumlah tersebut, usahawan TEKUN Nasional dari negeri Sabah adalah yang teramai memuat turun aplikasi TEKUN PAY iaitu seramai 495 orang dengan jumlah transaksi bayaran balik sebanyak RM118,951.72, diikuti negeri Johor (384) dengan jumlah transaksi RM83,381.38 dan Selangor (234) dengan jumlah transaksi RM52,372.55,” katanya.

Bagi memastikan pembiayaan yang disalurkan kepada usahawan dapat dikutip semula, TEKUN Nasional telah mengambil inisiatif menyahut cabaran menuju ke era digital dengan menyediakan aplikasi mudah alih TEKUN PAY yang lebih relevan tanpa tunai, tanpa kertas dan lebih sistematik untuk kemudahan usahawan.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Perasmian Seminar Asas Keusahawanan Negeri Sabah oleh Datuk Seri Panglima Hajiji Bin Haji Mohd Nor, Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Negeri Sabah di sini hari ini.

Kerajaan melalui TEKUN Nasional telah menyalurkan dana pembiayaan perniagaan bagi membantu golongan peniaga kecil untuk memula dan mempertingkatkan perniagaan sedia ada. Sejak diwujudkan pada tahun 1998, TEKUN Nasional telah memberi pembiayaan perniagaan kepada 405,513 orang usahawan, dengan bilangan pinjaman sebanyak 530,859 yang bernilai RM 5.06 billion di seluruh negara.

“Usahawan boleh menggunakan aplikasi ini untuk menyemak maklumat akaun pembiayaan & membuat bayaran balik pembiayaan secara dalam talian (online) ianya lebih praktikal dan mudah. Melalui aplikasi ini juga usahawan TEKUN Nasional boleh membuat bayaran menggunakan internet banking melalui bank yang menggunakan Financial Process Exchange ( FPX ),” katanya.


Sementara itu, katanya, seramai 500 usahawan sekitar Kota Kinabalu hadir ke seminar itu bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai TEKUN Nasional.

Menurutnya, sejak penubuhan hingga Mac lalu, 703 siri Seminar Asas Keusahawanan TEKUN Nasional dilaksanakan membabitkan seramai 178,289 usahawan di seluruh negara.

“Inisiatif ini selari dengan hasrat dan matlamat penubuhan TEKUN Nasional dalam menyediakan pembiayaan mikro serta perkhidmatan sokongan pembangunan keusahawanan.

“Melalui inisiatif ini, ia dapat membantu usahawan meningkatkan perniagaan, pendapatan dan seterusnya taraf ekonomi mereka,” katanya.

Aplikasi TEKUNPAY Pilihan Usahawan TEKUN Nasional

Aplikasi mudah alih TEKUNPAY yang diwujudkan TEKUN Nasional setakat ini berjaya mengutip kira-kira RM638,443.07 daripada  2,728 jumlah transaksi sejak ia berfungsi secara ‘online’ Julai tahun lalu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Baharom Embi berkata meskipun jumlah itu dilihat agak perlahan iaitu kira-kira dua peratus daripada jumlah usahawan di seluruh negara,  namun pihaknya optimis lebih ramai usahawan TEKUN Nasional akan menggunakan aplikasi tersebut tidak lama lagi.

“Kalau boleh kita mahu semua daripada usahawan TEKUN menggunakan aplikasi berkenaan kerana ia bukan sahaja memudahkan usahawan membayar pinjaman mereka, ia turut membantu usahawan menyemak baki pinjaman serta bayaran pinjaman yang dikreditkn pihak TEKUN Nasional ke dalam akaun bank mereka dengan mudah dan cepat.

“Pihak TEKUN Nasional juga akan menerima bayaran balik dengan kadar segera dan akan lebih ramai usahawan yang akan mendapat manfaat jika lebih banyak jumlah bayaran balik yang kita terima menerusi aplikasi ini,” katanya

Beliau ditermui oleh Bernama selepas majlis Kempen Jom Daftar TEKUNPAY yang telah disempurnakan oleh Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Penasihat Pembangunan Keusahawanan Dan Ikhtisas Wanita Di Jabatan Perdana Menteri  Bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sempena Karnival Usahawanita 2018 dan ROAD TO MAHA 2018 di Pantai Kuala Kertih di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, bermula Januari tahun ini, usahawan TEKUN Nasional dari negeri Sabah adalah yang teramai memuat turun aplikasi berkenaan iaitu seramai 495 orang dengan jumlah transaksi (bayaran balik) sebanyak RM118,951.72, diikuti negeri Johor (384) dengan jumlah transaksi RM83,381.38 dan Selangor (234) dengan jumlah transaksi RM52,372.55.

TEKUNPAY yang dilancarkan  oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada Feb lalu merupakan satu lagi inisiatif TEKUN Nasional meningkatkan kadar bayaran balik pembiayaan para usahawannya.

Pengenalan aplikasi itu juga katanya seiring dengan perkembangan teknologi di mana hampir kebanyakan rakyat negara ini  mempunyai telefon pintar dan akses Internet untuk mereka memuat turun aplikasi tersebut.

“Ibaratnya kini kita ingin mewujudkan satu sistem di mana perbankan di hujung jari…para usahawan juga termasuk makcik-makcik di kampung pun boleh membuat sendiri semakan rekod bayaran, jumlah tunggakan dan baki pembiayaan  mereka,” katanya.

“Warga kerja TEKUN Nasional juga kini giat turun padang bagi meneruskan kempen kesedaran kepada para usahawan TEKUN Nasional agar mereka mendapat pendedahan mengenai aplikasi ini yang sangat memudahkan dan menjimatkan masa dan kewangan mereka.

“Seperti kita tahu usahawan TEKUN Nasional juga ramai terdiri dari kalangan penduduk di kawasan pedalaman…jadi kini mereka tidak perlu lagi keluar ke bandar setiap bulan atau minggu hanya sekadar untuk membayar pinjaman,” katanya.