Pulau Payar ini terletak di luar pantai barat Kedah dan 30 km di selatan Langkawi. Anggaran jarak masa perjalanan untuk ke sini ialah selama satu jam dengan menggunakan bot laju dari Jeti Kuah, Langkawi.
Pengunjung boleh merasai pengalaman mandi manda di laut cetek dan jernih sambil di kelilingi pelbagai spesis ikan dan terumbu karang pelbagai saiz serta warna. Selain itu, pengunjung turut boleh merasai pengalaman berdiri di laut sambil dikerumini ikan pelbagai saiz. Sesekali, akan kelihatan juga anak-anak ikan jerung yang berenang jinak menghampiri gigi air.
Bagi tujuan pemeliharaan ekosistem, tiada kemudahan air tawar disediakan di pulau ini termasuk tandas, restoran atau kedai menjual barangan runcit. Selain itu, penggunaan sirip menyelam juga tidak dibenarkan bagi mengelak kemusnakan terumbu karang dan hidupan marin di sekitar.
Pengunjung yang merancang untuk melakukan aktiviti perkhemahan perlu mengemukakan permohonan kepada pihak berwajib. Selain itu, aktiviti memancing dalam lingkungan jarak 2.7 batu nautika di perairan ini akan dikenakan tindakan undang-undang.
Dianggarkan, terdapat lebih 15 tapak selam di sekitar Taman Laut Pulau Payar ini. Kepada para pengunjung yang ingin menerokai taman laut ini dengan lebih lagi, pastikan memilih dahulu pakej khas untuk ke lokasi tertentu seperti Coral Garden, Grouper Farm, GoodYear Reef, Lembu Rocks, Boat Point dll. Kebanyakkannya mengambil masa antara 5 hingga 10 minit perjalanan dari Pulau Payar, Langkawi.
Tapak Selam Sunken Boat Point
- Terletak di Pulau Kaca. Merupakan lokasi tunggal tapak selam bot karam
- Purata kedalaman: 15 meter dengan dasar tapak yang banyak dipenuhi landak laut
- Air yang sedikit keruh
- Daya tarikan: penyu, ikan batu, ikan buntal, belut moray dan lepu
Tapak Selam Coral Garden
- Merupakan tapak selam paling popular di Pulau Payar.
- Terletak di hujung selatan Pulau Payar.
- Purata kedalaman: 15 meter
- Daya Tarikan: Ia kelihatan umpama sebuah taman orkid yang diliputi karang lembut berwarna biru, ungu dan putih. Pelbagai spesis ikan karepu, bawal, obor-obor, bannerfish dll
Tapak Selam House Reef
- Purata Kedalaman: 15 – 18 meter
- Daya Tarikan: Ikan kerapu besar, alu-alu gergasi, belut moray, baranong, ikan kupu-kupu, lepu, buntal, kuda laut dan udang mantis
Tapak Selam Grouper Farm
- Merupakan lokasi kepada habitat ikan kerapu gergasi, ikan bawal dan alu-alu
- Purata kedalaman: 15 meter.
- Sebahagian besar dasarnya diliputi terumbu karang keras.
- Punya air yang tenang
Tapak Selam Pulau Segantang
- Mengambil tempoh masa perjalanan selama 20 minit dengan menaiki bot laju untuk ke sini.
- Terletak 15 km ke barat Pulau Payar
- Purata kedalaman: 26 meter
- Daya tarikan: Ikan kerapu, alu-alu, siakap merah, kuwe, aji-aji dan pelbagai spesis hidupan marin.
Tapak Selam Pulau Perak
- Lokasinya agak jauh iaitu kira-kira 115km di barat daya Pulau Langkawi.
- Mengambil tempoh masa perjalanan hingga 8 jam dengan menggunakan bot laju.
- Tidak banyak operator yang menawarkan pakej selam di kawasan selam. Antaranya ialah East Marine Holidays Sdn Bhd (terhad pada bulan April hingga Mei, untuk kumpulan minimum 5 orang).
- Purata Kedalaman 85 meter
- Daya Tarikan: panorama dasar laut yang menakjubkan. Pelbagai spesis ikan, hidupan marin dan terumbu karang. Penyelam juga berpeluang untuk ‘terserempak’ dengan ikan pari manta (Manta Ray). Ia merupakan antara spesis ikan pari terbesar di dunia yang hanya wujud di beberapa lokasi tertentu seluruh dunia