Tempat Menarik Di Langkawi

Tempat Menarik Di Langkawi

  1. Kereta Kabel Langkawi – Kalau datang ke Langkawi tetapi tidak mencuba kereta kabel di sini memang sangat rugi kerana gondola-gondola di sini lebih menarik dan menggerunkan kalau nak dibandingkan dengan kereta kabel di Genting Highland. Terdapat 3 pilihan gondola yang boleh dipilih ( berlainan harga) dan yang paling membuatkan anda rasa gayat adalah menaiki gondola berlantaikan kaca. Harga tiket untuk mereka yang ada MyKad juga lebih murah. Namun kalau anda ke sini pada musim cuti sekolah, cabaran nak beratur membeli tiket memang sangat menguji kesabaran sehingga berjam-jam lamanya. Tempat Menarik Di Langkawi
  2. SkyBridge – Kalau nak lihat pemandangan Pulau Langkawi dari puncak yang paling menarik, tidak lain dan tidak bukan SkyBridge adalah jawapannya. SkyBridge ini merupakan jambatan melengkung yang menghubungkan 2 puncak bukit (Bukit Machinchang) yang mana pengunjung boleh berjalan dan melihat pemandangan Pulau Langkawi secara 360 darjah. Untuk ke SkyBridge pelancong boleh menaiki kereta kabel. Waktu terbaik adalah untuk ke sini pada waktu petang sedikit kerana kurang panas dan sekiranya cuaca buruk kebiasaanya SkyBridge dan perkhidmatan kereta kabel akan ditutup.
  3. Art in Paradise – Dipendekkan cerita, destinasi ini juga lebih sinonim dipanggil muzium seni 3D ataupun 3D Trick Art. Pokoknya, di sini menempatkan banyak lukisan mural yang kelihatan seakan-akan real kalau diperhati dari sudut yang betul. Pengunjung yang datang ke sini boleh mengambil gambar dan yang bagusnya, mereka juga menyediakan gambar contoh cara untuk snap gambar supaya tampak real. Satu tempat menarik di Langkawi yang sesuai untuk datang bersama dengan anak-anak.
  4. 5D Muzium  – Muzium ini merupakan satu-satunya konsep 5D yang ada di Malaysia. Misi muzium ini adalah untuk menjadikan tarikan ini berkait rapat dengan 5 pancaindera kita iaitu bauan, pendengaran, visual, rasa dan juga sentuhan. Satu tempat menarik di Langkawi yang masih baru dan terletak di Langkawi Fair Shopping Mall. Tarikan di sini juga lebih kurang sama dengan 3D art di mana anda boleh ambil gambar bersama mural dan juga statu-statu patung yang ada di sini seperti Transformers ( Optimus Prime dan Bumble Bee)
  5. Pantai Cenang – Pantai peranginan yang ada di Langkawi ini boleh dikatakan pantai tumpuan yang paling popular kerana di sini terdapat banyak penginapan baik yang bajet mahupun yang eksklusif. Nak cari tempat makan pun senang dan nak cari pakej aktiviti sukan air pun banyak. Kalau musim cuti sekolah, lokasi Pantai Cenang memang sangat meriah dengan pelancong-pelancong dalam dan luar negara. Selain itu, pantai-pantai di sini juga bersih dan sesuai untuk aktiviti tepi pantai bersama keluarga. Kalau di waktu petang, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan panorama matahari terbenam. Kalau anda berbulan madu ke sini, bolehlah mencari penginapan di tepi Pantai Cenang.
  6. Pantai Tanjung Rhu – Pantai ini mungkin tidak sepopular Pantai Cenang namun kalau nak dibandingkan dari segi kecantikan pasir pantai dan air laut, rasanya Pantai Tanjung Rhu lebih menarik. Selain itu juga, kawasan pantai di sini juga tidaklah sesibuk seperti di Pantai Cenang. Kalau anda hanya ingin bermain pasir pantai dan main air laut dengan lebih tenang tanpa kesesakan pengunjung terutamanya di waktu cuti, lebih baik ke Pantai Tanjung Rhu.
  7. Pantai Tengah – Pantai yang juga tidak sibuk dan lebih kurang tumpuan pelancong berbanding di Cenang. Pasir pantai di sini juga gebu dan air lautnya juga agak tenang untuk aktiviti main air laut. Dan yang paling best, di sini terdapat banyak aktiviti sukan air yang boleh dicuba seperti bermain jetski, parasailing dan sebagainya. Dicadangkan untuk datang ke sini pada waktu petang kerana pemandangan matahari terbenam dari Pantai Tengah dan ditambah pula dengan struktur sekelilingnya memang sangat cantik.
  8. Pantai Pasir Tengkorak – Pantai yang mengadap pulau Tarotou ini satu tempat menarik di Langkawi tepi pantai yang sesuai untuk anda yang tidak sukakan kesesakan. Kalau setakat nak bersantai, melihat pemandangan laut dan bermain air di tepi pantai, lagi seronok di sini sebab lebih privasi dan tidak sibuk langsung. Namun malangnya, di sini tidak ada gerai-gerai yang menjual minuman atau makanan untuk dibeli. Jadi bawalah bekal makanan sendiri.
  9. Pulau Payar Marine Park – Pulau ini terletak di tenggara pulau utama Langkawi. Pulau Payar terkenal sebagai destinasi terbaik untuk melihat hidupan marin. Di sini juga terdapat beberapa pantai berpasir yang sangat sesuai untuk berkelah. Bagi mereka yang ingin hiking menerokai Pulau Payar, terdapat denai yang telah disediakan untuk pengunjung. Kalau berkelah di pantai dan bernasib baik, pengunjung boleh melihat hidupan marin hanya dari pantai seperti anak ikan yu sebagainya.
  10. Pulau Beras Basah – Sekiranya anda island hopping ke sini, jangan lepaskan peluang untuk melakukan aktiviti-aktiviti seperti snorkeling dan mencuba permainan air seperti banana ride, parasailing dan sebagainya. Yang menariknya, air lautnya memang sangat jernih dan pasirnya pula bersih. Mungkin kerana perlu menaiki bot untuk ke sini maka kebersihannya memang sangat baik.
  11. Kilim Geoforest Park – Di Langkawi juga terdapat hutan paya bakau dengan pelbagai tarikan alam untuk dilihat. Dari jeti anda boleh berjalan kaki melalui platform kayu yang disediakan melalui hutan paya bakau dan melihat hidupan paya bakau yang ada di sini seperti pokok Bogak, pokok ketam, monyet, gua yang dipenuhi dengan kelawar dan formasi batuan batu kapur. Selain berjalan kaki, pengunjung juga boleh menyewa bot di sini dan menikmati keindahan hutan paya bakau melalui sungai. Kalau bernasib baik anda juga berpeluang melihat burung helang terjun tiruk mencari makan.
  12. Gunung Raya – Satu lagi destinasi tempat tinggi selain SkyBridge untuk melihat keindahan Pulau Langkawi. Pelancong boleh ke sini dengan menyewa motosikal dan naik melalui jalan yang disediakan. Di puncak anda boleh melihat pemandangan hijau gunung ganang yang pasti menenangkan jiwa raga dan tiada kesibukan seperti tempat-tempat menarik di Langkawi yang lain contohnya di Sky Bridge atau kereta kabel.
  13. Underwater World Langkawi – Destinasi yang tidak kurang popularnya di kalangan pelancong yang berkeluarga yang datang bercuti di Langkawi. Konsepnya lebih kurang sama seperti Aquaria KLCC dan di sini menempatkan ribuan jenis hidupan marin termasuk ikan laut dalam. Antara binatang yang jarang kita lihat yang pasti membuatkan anak-anak teruja adalah penguin, jerung, pari, lobster dan sebagainya. Lokasinya mudah untuk diakses dan terletak di kawasan tumpuan ramai.
  14. Langkawi Wildlife Park – Kalau anda bercuti ke Langkawi bersama anak-anak, pastikan anda singgah di sini. Taman hidupan liar boleh dikata seperti mini zoo yang menempatkan pelbagai jenis binatang seperti pelanduk, ikan, buaya, landak, monyet dan yang paling mencuri tumpuan di sini ialah Bird Paradise yang terdapat pelbagai jenis spesis burung yang jinak yang boleh disentuh dan diberi makan. Kalau anda belum pernah ke mana-mana taman burung seperti di KL Bird Park, bolehlah mengambil peluang untuk melihat dengan lebih dekat burung comel ini terutamanya anak-anak anda.
  15. Taman Buaya Langkawi (Crocodile Adventureland) – Bagi yang ingin lebih mendekati haiwan predator air yang ganas ini, bolehlah membawa anak-anak dan keluarga ke sini. Di taman ini terdapat banyak buaya yang pelbagai saiz untuk dilihat dengan lebih dekat. Terdapat juga pertunjukan bersama buaya ini pada sebelah pagi dan petang. Selain itu, pengunjung juga berpeluang untuk memberi makan kepada anak-anak buaya yang ada di sini. Sekiranya anda ingin melihat pertunjukan pastikan semak masa pertunjukan supaya tidak terlepas.
  16. Kota Mahsuri – Bagi kaki subjek sejarah destinasi ini semestinya satu tempat yang perlu anda datang untuk melihat sendiri makam lagenda Pulau Langkawi, Mahsuri. Terdapat juga beberapa informasi bertulis berkaitan Mahsuri dan Pulau Langkawi yang boleh menjadi tatapan anda. Satu tempat menarik di Langkawi yang cukup sinonim pada zaman sekolah dahulu. Tidak jauh dari sini juga terdapat beberapa gerai dan kedai yang menjual produk hasil daripada gamat.
  17. Galeri Padi – Negeri Kedah memang terkenal dengan padinya. Jadi tak perlu ke muzium di Alor Star untuk mengenali sejarah dan proses penanaman padi. Di Langkawi pun ada. Seperti juga di muzium/galeri lain, sekiranya anda memang tidak tahu langsung mengenai padi, destinasi ini pasti memberi sesuatu yang baru kepada anda. Kalau anda sukakan aktiviti yang menyeronokkan, destinasi ini mungkin biasa-biasa sahaja tanpa tarikan yang membuatkan anda teruja.
  18. Herbawalk Langkawi – Sekiranya anda ingin mengenali pelbagai jenis tumbuhan herba yang sering dijadikan ubat, bolehlah datang ke sini. Herbalwalk ini diasas oleh Dr Ghani iaitu seorang doktor yang sangat meminati tumbuhan herba. Beliau juga merupakan doktor yang pertama yang membuka klinik di Langkawi pada tahun 80 an. Pengunjung berpeluang untuk berjumpa dengan beliau dan mendengar cerita tentang semua tumbuhan yang ada di sini.
  19. Kompleks Kraf Langkawi – Bagi yang gemar mengumpul barangan kraftangan, anda boleh ke sini untuk membeli ataupun melihat pameran yang ada di sini. Kompleks ini menempatkan pelbagai jenis kraftangan yang dihasilkan oleh penduduk tempatan seperti produk anyaman rotan, batik, aksesori wanita dan sebagainya. Golongan wanita mesti suka dengan tempat ini untuk shopping dan sokonglah perusahaan industri tradisional ini yang diusahakan oleh orang kita supaya ianya tidak hilang ditelan dek zaman.
  20. Oriental Village – Boleh dikatakan sebagai sebuah taman bersiar yang cantik dan sesuai untuk bersiar-siar dengan anak-anak. Oriental Village merupakan tempat di mana anda perlu datang sekiranya ingin menaiki kereta kabel. Bagus dengan adanya perkampungan sebegini kerana taklah boring sangat nak menunggu giliran menaiki kereta kabel. Di sini ada pelbagai gerai, tempat makan, tasik, taman permainan dan kedai menjual cenderahati. Tempat Menarik Di Langkawi
  21. Galeria Perdana – Galeri atau muzium ini merupakan satu tempat menarik di Langkawi yang sangat ideal untuk lawatan sambil belajar. Di sini pengunjung akan dipamerkan dengan pelbagai jenis hadiah-hadiah yang pernah diterima oleh kerajaan Malaysia (ketika era pemerintahan Tun Mahathir) sebagai penghargaan terhadap pelbagai jenis pencapaian. Antara yang paling mencuri tumpuan ialah anda dapat melihat sendiri transformasi beberapa sektor di Malaysia seperti kenderaan lama sehinggalah sekarang. Kalau anda ke Ayer Hangat pada waktu tengahari, memang sesuai datang ke sini kerana di dalamnya ada aircond.
  22. MARDI Langkawi Agro Technology Park – Kalau nak merasa nak makan buah yang pelbagai jenis, dicadangkan untuk singgah di sini. Dengan sekali masuk anda boleh merasa pelbagai jenis buah tropika yang segar dan sedap seperti tembikai, pisang, belimbing, nenas, anggur, nangka, tembikai susu dan sebagainya. Selain aktiviti makan buah, pengunjung juga dihidangkan dengan informasi-informasi tentang pokok-pokok buah yang ditanam di sini yang akan diterangkan oleh staff-staff yang mesra pelancong.
  23. Air Terjun Telaga Tujuh – Salah satu destinasi mandi air terjun yang menarik untuk dilawati di Langkawi. Yang uniknya, air terjun ini dinamakan Telaga Tujuh kerana di sepanjangnya terdapat kawasan tadahan kecil yang berbentuk seakan-akan telaga yang terbentuk secara semulajadi. Jadi sekiranya anda inginkan riadah mandi air tawar di Langkawi, silalah ke sini. Akses ke air terjun dengan kenderaan dan jalan kaki pun mudah. Kemudahan asas seperti pondok dan tandas juga disediakan.
  24. Air Terjun Temurun – Satu lagi tarikan air terjun yang ada di Langkawi yang agak tinggi dan pemandangan yang sangat menarik. Di bawah air terjun terdapat kawasan tadahan yang sesuai untuk mandi manda dan berenang. Kalau datang ke sini pada musim kemarau, air yang mengalir agak tidak banyak. Di sekitarnya juga terdapat monyet-monyet hutan liar yang mungkin akan menggangu anda sekiranya membawa makanan. Jadi simpanlah makanan di dalam beg dan zip rapat-rapat.
  25. Air Terjun Durian Perangin – Terletak di Hutan Lipur Drian Perangin, destinasi air terjun ini juga merupakan tumpuan pelancong untuk berkelah dan mandi manda bersama keluarga. Terdapat kemudahan seperti pondok dan laluan jalan kaki. Air terjunnya tidaklah besar sangat dan mungkin agat sendat kalau waktu kemuncak di cuti sekolah. Apapun, destinasi ini memang sangat best untuk berehat dan mandi air terjunnya yang bersih dan sangat sejuk. Kalau anda bercuti lama ke Langkawi bolehlah singgah di sini dan kalau hanya sekejap sahaja, baik utamakan tarikan lain yang tidak ada di Semenanjung Malaysia. Tempat Menarik Di Langkawi
  26. Tasik Dayang Bunting – Kalau teringin nak mandi dan berenang di kawasan yang kurang ombak, bolehlah datang ke sini. Dan yang menariknya di sini terdapat lot-lot kolam bersegi yang dibina di atas tasik bagi memudahkan pelancong untuk mandi manda. Keselamatan juga lebih baik di sini kerana ada jaring dan juga life jacket untuk kanak-kanak. Tasik ini terletak di tengah-tengah pulau jadi anda perlu berjalan dan mendaki sedikit sebelum sampai ke tasik ini. Pemandangan dari atas bukit melihat tasik hijau di depan mata memang sangat menenangkan jiwa yang mungkin sedang gundah gelara.
  27. Dataran Lang – Kalau datang ke Langkawi, memang tak lengkap kalau tak bergambar berlatar belakangkan statu burung helang gergasi yang menjadi simbolik kepada Pulau Langkawi. Lokasinya hanya beberapa minit jalan kaki dari Jeti Pekan Kuah dan dicadangkan untuk ke sini apabila hendak pulang ke tanah besar sambil-sambil menunggu feri. Habiskan masa di sini 10-15 minit sudah memadai. Tempat Menarik Di Langkawi
  28. Taman Lagenda – Taman ini terletak tidak jauh dari Jeti Kuah. Jadi kalau ada masa lebih sambil menunggu feri, bolehlah datang ke taman ini. Taman ini lebih kepada tempat bersiar-siar dan landskap taman ini juga agak menarik untuk anda ambil gambar sebagai kenangan. Ada beberapa monumen yang menarik di sini untuk dilihat dan dijadikan subjek untuk photo anda.

Published by

Dennis Zill

Freelance Blogger - Gemar mengambil gambar (masih lagi belajar teknik yang betul) - Suka Jalan-jalan & Traveling untuk mencari pengalaman baru - Pencinta kucing yang tegar. Kenali Dennis Gill lebih lanjut di SINI