GAJAH PUTIH (atau gajah albino) ialah gajah biasa dan tidak bezanya dengan spesis gajah biasa yang lain.
Ia sering digambarkan sebagai berwarna putih salji, walhal kulit ia sebenarnya berwarna coklat lembut kemerahan yang berubah menjadi warna merah muda apabila basah. Ia memiliki bulu mata dan kuku yang lentik.
Di Thailand, gajah putih (Bahasa Thai: chang phueak) dianggap suci dan sebagai simbol kekuasaan kerajaan. Semua gajah putih yang dijumpai harus diberikan kepada Raja.
Semakin banyak gajah putih yang dimiliki oleh raja, dipercayai akan semakin besarlah kekuasaannya dan semakin baik nasib kerajaannya. Kerana tradisi-tradisi inilah Negeri Siam juga mendapat jolokan sebagai Negeri Gajah Putih.
Raja Thailand – Bhumibol Adulyadej atau “Rama IX” dikatakan memiliki sepuluh ekor gajah putih. Di Thailand, meskipun memiliki kulit pucat, seekor gajah putih tidak semestinya albino. Calon haiwan akan dinilai berdasarkan beberapa kriteria fizikal dan perilaku (termasuk warna mata, bentuk ekor dan telinga, dan kecerdasan). Gajah yang lulus ujian kemudian dimasukkan ke dalam salah satu dari empat kategori dan ditawarkan kepada raja.
Pada zaman dahulu, Kerajaan Siam akan memberikan gajah putih yang berkualiti rendah kepada teman dan sekutu raja Siam sebagai hadiah. Kos untuk memelihara haiwan ini sangat tinggi. Oleh kerana ia dikategorikan sebagai haiwan suci, gajah putih ini tidak boleh disuruh untuk melakukan apa-apa pekerjaan. Oleh sebab itulah gajah putih menjadi beban kewangan yang besar kepada penerima hadiah atau pemiliknya sehingga hanya raja atau orang yang sangat kaya sahaja yang mampu membeli atau memilikinya.