Tips Beli Rumah Pertama

Kali ini kita kongsikan pengalaman tatkala membeli rumah pertama pada tahun lepas.  Yelah, sampai sekarang macam tak percaya bakal punya rumah sendiri. Dulu aku pun ingat orang nak beli rumah ni kena stabil sana sini. Sebenarnya, tak lah susah mana. Sebab dalam kes aku, beli rumah yang under construction dan secara kebetulan ada agen yang menguruskan dari mula hingga tamat. Hanya perlu sediakan wang sahaja. Pengsan.

Ilmu Mengenai Hartanah

Untungnya budak-buak zaman sekarang. Segala macam ilmu hanya di hujung jari sahaja. Zaman muda mudi aku dulu perkongsian ilmu berkenaan hartanah memang kurang. Ilmu-ilmu ini boleh didapati di laman web / blog berkaitan hartanah secara percuma. Kalau ada duit lebih sedikit, boleh je hadiri mana-mana seminar atau beli je buku/ebook. Nak lagi mudah, follow je laman sosial otai-otai jutawan hartanah.

Daripada ilmu ini, bolehlah buat kajian atau usha-usha rumah mana yang berkenan dihati berdasarkan kepada kemampuan masing-masing.

Duit Simpanan

Paling penting. Sila simpan duit (walaupun sedikit) sejak belajar di Universiti lagi. Duit biasiswa atau PTPTN tu jangan belanja sesuka hati. Simpan sedikit untuk bekalan kelak. Kalau berkesempatan, buatlah kerja separuh masa seperti kerja di butik / pasaraya atau perniagaan online. Sekurang-kurangnya boleh timba pengalaman dan duit pun bertambah.

Beli Ikut Kemampuan

Kalau boleh, belilah rumah yang bersesuaian. Ukur baju dibadan sendiri. Jangan beli rumah yang terus ‘mahal’ dan memerlukan ansuran bulanan yang tinggi. Mulakan dengan yang sedikit dan mengikut kemampuan. Contohnya rumah flat atau apartment biasa. Tapi kalau sudah ketentuan-Nya kau dapat rumah yang memang agak tinggi, nak buat macam mana kan? Kita merancang, Tuhan yang menentukan.

Macam kes aku, rancangnya nak beli rumah apartment atau Rumah SelangorKu. Tapi akhirnya dapat rumah terus 1 tinggal di pinggir bandar.

Pekerjaan Yang Stabil

Dahulu, jika nak buat permohonan pembelian rumah, mesti nak kerja yang berstatus tetap. Tapi kini tidak lagi rasanya. Bank akan tetap terima permohonan jika kerja berstatus kontrak tersebut. Asalkan status kontrak tersebut adalah pada tempoh yang panjang.

Apa yang penting adalah rajin dan berbaik-baiklah dengan rakan sekerja khususnya majikan. Insyaallah, semuanya akan Okay jika kita rajin dan tidak berkira buat kerja.

Agama

Bagi aku, hubungan dengan Allah swt itu tersangat penting. Kau buatlah macam mana pun tapi kalau kau tak jaga hubungan dengan yang Esa, gerenti hati kosong. Rasa macam ada je yang tak kena. Time dalam proses pencarian dan permohonan itu, cuba amalkan Solat Sunat Dhuha dan doa banyak-banyak mohon dipermudahkan segalanya. 

Published by

Dennis Zill

Freelance Blogger - Gemar mengambil gambar (masih lagi belajar teknik yang betul) - Suka Jalan-jalan & Traveling untuk mencari pengalaman baru - Pencinta kucing yang tegar. Kenali Dennis Gill lebih lanjut di SINI