KOTA KINABALU, 14 April – Usahawan TEKUN Nasional dari negeri Sabah merupakan pengguna teramai yang memuat turun dan membuat bayaran balik dengan menggunakan aplikasi TEKUN PAY.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasioanl, Datuk Baharom Embi berkata, aplikasi mudah alih TEKUN PAY yang dibangunkan oleh TEKUN Nasional telah berjaya mengutip kira-kira RM638,443.07 melibatkan 2,728 transaksi sejak ia didaftarkan di Google Play dan App Store sejak Julai tahun lalu.
“Daripada jumlah tersebut, usahawan TEKUN Nasional dari negeri Sabah adalah yang teramai memuat turun aplikasi TEKUN PAY iaitu seramai 495 orang dengan jumlah transaksi bayaran balik sebanyak RM118,951.72, diikuti negeri Johor (384) dengan jumlah transaksi RM83,381.38 dan Selangor (234) dengan jumlah transaksi RM52,372.55,” katanya.
Bagi memastikan pembiayaan yang disalurkan kepada usahawan dapat dikutip semula, TEKUN Nasional telah mengambil inisiatif menyahut cabaran menuju ke era digital dengan menyediakan aplikasi mudah alih TEKUN PAY yang lebih relevan tanpa tunai, tanpa kertas dan lebih sistematik untuk kemudahan usahawan.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Perasmian Seminar Asas Keusahawanan Negeri Sabah oleh Datuk Seri Panglima Hajiji Bin Haji Mohd Nor, Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Negeri Sabah di sini hari ini.
Kerajaan melalui TEKUN Nasional telah menyalurkan dana pembiayaan perniagaan bagi membantu golongan peniaga kecil untuk memula dan mempertingkatkan perniagaan sedia ada. Sejak diwujudkan pada tahun 1998, TEKUN Nasional telah memberi pembiayaan perniagaan kepada 405,513 orang usahawan, dengan bilangan pinjaman sebanyak 530,859 yang bernilai RM 5.06 billion di seluruh negara.
“Usahawan boleh menggunakan aplikasi ini untuk menyemak maklumat akaun pembiayaan & membuat bayaran balik pembiayaan secara dalam talian (online) ianya lebih praktikal dan mudah. Melalui aplikasi ini juga usahawan TEKUN Nasional boleh membuat bayaran menggunakan internet banking melalui bank yang menggunakan Financial Process Exchange ( FPX ),” katanya.
Sementara itu, katanya, seramai 500 usahawan sekitar Kota Kinabalu hadir ke seminar itu bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai TEKUN Nasional.
Menurutnya, sejak penubuhan hingga Mac lalu, 703 siri Seminar Asas Keusahawanan TEKUN Nasional dilaksanakan membabitkan seramai 178,289 usahawan di seluruh negara.
“Inisiatif ini selari dengan hasrat dan matlamat penubuhan TEKUN Nasional dalam menyediakan pembiayaan mikro serta perkhidmatan sokongan pembangunan keusahawanan.
“Melalui inisiatif ini, ia dapat membantu usahawan meningkatkan perniagaan, pendapatan dan seterusnya taraf ekonomi mereka,” katanya.